Strok haba ragut nyawa, suhu di India cecah 47.6 darjah Celsius

Strok haba ragut nyawa, suhu di India cecah 47.6 darjah Celsius

Strok haba ragut nyawa, suhu di India cecah  47.6 darjah Celsius


New Delhi: Pelbagai wilayah di India mula melaksanakan langkah bantuan susulan cuaca panas melampau yang melanda sebahagian besar negara Asia Selatan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jabatan Meteorologi India dalam satu kenyataan memaklumkan suhu maksimum waktu siang mencatatkan bacaan antara 40 hingga 46 darjah Celsius di hampir seluruh pelosok negara, kecuali di kawasan pergunungan Himalaya serta bahagian timur laut Bihar dan timur laut India.

Menurut jabatan itu, suhu paling tinggi mencecah 47.6 darjah Celsius dikesan di Banda yang terletak di wilayah utara Uttar Pradesh pada Isnin. Keadaan gelombang panas dijangka berterusan di beberapa kawasan terpencil di Tengah India hari ini sebelum mula reda kemudiannya.

Pakar kaji cuaca berpendapat India berhadapan fenomena ini lebih awal daripada kebiasaan tahun ini. Naib Presiden Skymet Weather Services, Mahesh Palawat, memberitahu Anadolu bahawa faktor cuaca kering yang berpanjangan menjadi antara punca utama. Beliau menjangkakan keadaan kembali pulih bermula hari ini ekoran perubahan cuaca.

Memandangkan suhu ekstrem menjejaskan rutin harian, banyak wilayah telah mengumumkan inisiatif bantuan. Di ibu negara India, New Delhi, pihak berkuasa memperkenalkan langkah khas di sekolah termasuk membunyikan loceng bagi mengingatkan pelajar supaya kerap minum air.

Ketua Menteri Delhi, Rekha Gupta berkata, garis panduan terperinci sudah dikeluarkan kepada semua jabatan bagi menjamin keselamatan awam. Antara langkah yang diumumkan termasuk mewajibkan waktu rehat bagi pekerja bermula jam 1 petang hingga 4 petang, selain menyediakan bekalan air dan tempat berteduh.

Di sekolah, keutamaan diberikan kepada akses air minuman sejuk bagi kanak-kanak, manakala jabatan pengangkutan akan menyediakan kaunter air di perhentian bas. Wilayah lain turut mengambil langkah serupa dengan menyusun semula waktu persekolahan. Di Odisha, cuti musim panas bagi sekolah bermula Isnin lalu susulan keadaan cuaca yang membimbangkan.

Wilayah itu turut melaporkan kematian dua guru sekolah yang terlibat dalam tugasan bancian, dipercayai akibat strok haba.

Beberapa hospital turut mempertingkatkan usaha rawatan, seperti Hospital Ram Manohar Lohia di New Delhi yang mewujudkan unit khas strok haba bagi merawat pesakit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top