Struktur gaji jurutera perlu penilaian semula – Fadillah

Struktur gaji jurutera perlu penilaian semula – Fadillah


Kuala Lumpur: Komponen imbuhan dan gaji perlu dikaji semula untuk menarik lebih ramai pelajar pengajian tinggi menceburi bidang kejuruteraan bagi menangani isu nisbah jurutera kepada penduduk.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia yang ketika ini berada pada 1:170 iaitu masih jauh ketinggalan berbanding 1:100 di negara maju.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, laporan menunjukkan 35 peratus jurutera muda berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

“Semasa kita menganalisis punca di sebalik perbezaan ini, kita mesti menilai semula struktur gaji untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti kursus kejuruteraan,” katanya.

Fadillah berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Pameran Kejuruteraan dan Persidangan Malaysia (Engineer) dan Pameran Penyaman Udara, Penyejukan dan Pengudaraan Malaysia (Marvex) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad, Presiden Persatuan Penyejukan dan Penyaman Udara Malaysia (Macra) Peter Tan Chin Wah, Presiden C.I.S Datuk Vincent Lim dan Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM) Prof Dr Jeffrey Chiang Choong Luin.

Acara empat hari itu yang bermula semalam merupakan kerjasama strategik antara IEM, MACRA dan C.I.S, mengetengahkan isu berkaitan teknologi mekanikal, elektrikal dan bilik bersih terkini yang amat penting untuk masa depan perindustrian dan ekonomi Malaysia.

Fadillah berkata, Malaysia perlu menghasilkan lebih ramai bakat kejuruteraan untuk memenuhi permintaan industri dan memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi memandangkan profesion itu penting dalam memajukan lagi bidang sains gunaan yang secara langsung memberikan impak kepada masa depan industri seperti pembinaan dan pembuatan.

“Peranan jurutera adalah sangat mustahak, mereka bukan sahaja penyelesai masalah tetapi pemangkin inovasi, yang amat penting untuk kepesatan dan dinamik ekonomi kita,” katanya.

Fadillah berkata, perjuangan negara untuk mencapai matlamat pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) berdepan cabaran apabila hanya 45 peratus pelajar Malaysia mengikuti bidang berkaitan Stem, justeru gagal mencapai sasaran 60 peratus yang ditetapkan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Bagi menangani isu itu, beliau berkata, kerajaan menjalankan usaha berterusan mempromosikan STEM menerusi Minggu Techlympics dan Sains Kebangsaan, yang bertujuan memupuk minat dalam sains dan teknologi menjelang 2030.

Fadillah juga mengetengahkan peranan negara yang semakin ketara dalam pasaran pusat data, menyatakan bahawa Malaysia akan menjadi hab pusat data ketiga terbesar di Asia, di belakang Jepun dan India.

“Lokasi strategik, dasar kerajaan yang menggalakkan dan kos yang kompetitif untuk tanah dan utiliti menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk pusat data, diiktiraf sebagai pasaran pusat data yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top