khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Struktur pemberian subsidi bahan api sedia ada perlu disemak semula susulan konflik yang berlaku di Asia Barat selepas serangan dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, individu yang berpendapatan tinggi di negara ini tidak sepatutnya menerima subsidi bahan api disebabkan mereka mampu membayar mengikut harga pasaran.
Menurutnya, ini kerana kerajaan perlu memperuntukkan subsidi bahan api yang lebih bagi mengekalkan harga semasa apabila harga minyak mentah Brent naik untuk suatu tempoh yang lama susulan konflik yang berlaku.
“Perbelanjaan subsidi petrol pada tahun 2024 adalah RM19.7 bilion yang mana purata harga minyak mentah Brent berada di paras AS$79.9 setong.
“Justeru, apabila harga minyak mentah Brent naik untuk suatu tempoh yang lama, sudah pasti kerajaan perlu memperuntukkan subsidi bahan api yang lebih bagi mengekalkan harga semasa.
“Seterusnya, ia akan memberi kesan kepada sasaran defisit fiskal iaitu 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini. Pada ketika Belanjawan 2026 dibentangkan, andaian bagi harga minyak mentah Brent adalah AS$60 hingga AS$65 setong,” katanya kepada Harian Metro.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia boleh mengekalkan harga siling RON95 pada RM1.99 seliter selama kira-kira dua bulan sekiranya ketegangan geopolitik semakin memuncak.
Hari ini, Anwar dilapor berkata, kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter supaya ia tidak membebankan rakyat.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, penstrukturan itu boleh dilaksanakan dengan penggunaan MyKad boleh menyasarkan pemberian subsidi bahan api kepada golongan sasaran.
“Ia boleh dilaksanakan. Namun, maklumat perlu dimaklumkan lebih awal kepada rakyat. Ini bermakna strategi komunikasi kepada rakyat perlu diperinci dan diperhebatkan agar tidak menimbulkan salah faham dan situasi panik.
“Selain itu, pemantauan terhadap harga barang dan penguatkuasaan undang-undang terhadap salah laku perniagaan seperti perbuatan sorok, manipulasi harga dan kewujudan kartel perlu dibendung sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya perang ini berlanjutan terutamanya penutupan Selat Hormuz oleh Iran, harga minyak mentah akan terus meningkat melepasi paras kini yang sudah melebihi AS$90 setong.
Beliau berkata, Selat Hormuz amat kritikal kerana ia menjadi laluan kepada 20 peratus kepada minyak dan gas dunia pada masa ini.
Katanya, sekiranya Selat Hormuz ditutup, harga barangan dunia akan mula meningkat dan ia memberi kesan berganda kepada barangan keperluan serta makanan yang diimport.
“Malaysia tidak terkecuali dengan jumlah makanan yang diimport mencecah RM80 bilion setahun, maka ia akan memberikan kesan kepada kadar inflasi negara yang dijangka meningkat dalam tiga ke enam bulan lagi,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga berkemungkinan terpaksa membuat pelarasan subsidi tanpa terlalu membebankan rakyat secara keseluruhan sekiranya harga minyak mentah terus meningkat melepasi AS$100 setong.
“Ini kerana setiap peningkatan harga minyak mentah melebihi AS$90 ke AS$95 setong akan menambahkan subsidi kerajaan sebanyak RM3 bilion ke RM5 bilion setahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






