Struktur subsidi lebih adil, mampan

Struktur subsidi lebih adil, mampan


kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pelaksanaan inisiatif Subsidi Bersasar RON95 (BUDI95) oleh kerajaan disifatkan sebagai pemangkin perubahan besar dalam landskap dasar fiskal negara, menurut penganalisis ekonomi dan pasaran, Datuk Dr Nazri Khan.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan hanya penjimatan, tetapi pelaburan semula demi masa depan ekonomi yang lebih kukuh serta memastikan bantuan disalurkan terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“BUDI95 adalah manifestasi komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur subsidi yang lebih adil dan mampan.

“Ia akan menjadi asas kepada pembentukan ekosistem fiskal yang lebih efisien serta berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, beliau menjangkakan kerajaan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan disiplin fiskal, pengurangan defisit serta kesinambungan dasar subsidi bersasar melalui kerangka BUDI95.

Katanya, pendekatan bersasar yang disokong oleh teknologi data seperti PADU akan memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara optimum dan telus.

“Belanjawan 2026 dijangka mengekalkan keseimbangan antara tanggungjawab sosial dan realiti fiskal.

“Langkah ini juga penting bagi membina semula keyakinan pelabur serta menstabilkan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Menurut Nazri, penjimatan besar hasil rasionalisasi subsidi bahan api melalui BUDI95 akan membuka ruang fiskal baharu kepada kerajaan untuk menyalurkan dana ke sektor yang menjana nilai tambah tinggi seperti pendidikan teknikal, kesihatan awam dan infrastruktur digital.

“Dengan asas fiskal yang lebih kukuh, kerajaan boleh melaksanakan dasar pengembangan terpilih bukan hanya untuk mengawal defisit, tetapi juga memperkukuh projek yang memberi pulangan sosial dan ekonomi lebih besar,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Belanjawan 2026 berpotensi menjadi titik keseimbangan antara pengukuhan fiskal dan pengembangan ekonomi, serta menjadi kayu ukur kepada kredibiliti kerajaan dalam mengurus fiskal secara berdisiplin tanpa mengabaikan golongan berpendapatan rendah.

“Kejayaan BUDI95 akan memberi isyarat positif kepada pasaran modal dan pelabur antarabangsa bahawa Malaysia serius dalam reformasi fiskal,” katanya.

Dalam pada itu, Nazri turut berpandangan bahawa keberkesanan BUDI95 akan mempengaruhi unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun depan.

Beliau berkata, apabila tekanan fiskal berkurangan, Malaysia mempunyai ruang lebih luas untuk melabur dalam inisiatif berasaskan produktiviti, inovasi dan transformasi digital.

“Ini asas kepada ekonomi baharu pasca 2026 yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top