Su Yin (kiri) dan Pang Ron terpaksa akur tewas kepada pasangan China dalam saingan suku akhir Kejohanan Dunia di Paris pada Jumaat. Foto AFP
BEREGU campuran muda negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin belum mahu mengibar bendera putih selepas terkandas dalam saingan suku akhir Kejohanan Dunia 2025 di Perancis pada Jumaat kerana bertekad akan bangkit lebih kuat.
Malah Su Yin,22, menyifatkan kejayaan mara sehingga sejauh itu sebagai satu pencapaian yang membanggakan susulan prestasi hambar sejak awal musim ini selain dibelenggu kecederaan.
Pasangan nombor 16 dunia itu tumpas secara straight set di tangan gandingan berstatus kedua dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam aksi di Adidas Arena, Paris.
“Saya boleh katakan ia adalah satu pencapaian yang membanggakan, tetapi pada masa sama kami percaya mampu melakukan lebih baik lagi.
“Selepas ini, kami akan kembali ke Malaysia untuk menjalani latihan yang lebih gigih dan menetapkan sasaran yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Dalam saingan yang mendebarkan itu, mereka ketinggalan 0-10 pada awal saingan, namun bangkit untuk menyamakan kedudukan 19-19, malah mendahului 21-20 sebelum tewas 25-23.
Pasangan China itu kemudian mengesahkan kemenangan 21-15 pada suku akhir selama 41 minit di Adidas Arena.
“Saya percaya kami mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah berputus asa. Kami hadir sebagai pasangan bukan pilihan, tiada apa yang merugikan.
“Kami pernah melakukan kebangkitan sebelum ini dan mahu membuktikannya lagi. Malah tidak ramai yang menjangka kami menang (pusingan ketiga),” ujar Pang Ron yang berusia 27 tahun.
Pasangan muda itu mengejutkan gandingan berpengalaman yang juga rakan senegara berkedudukan keenam dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai 13-21, 23-21, 21-17 untuk menempah slot lapan terbaik.






