Su Yin sasar kebangkitan di Terbuka Jepun

Su Yin sasar kebangkitan di Terbuka Jepun


Su Yin (kanan) dan Pang Ron mahu melakar keputusan positif pada dua kejohanan utama bulan ini.

PEMAIN beregu campuran negara, Cheng Su Yin berazam untuk bangkit lebih kuat apabila kembali ke gelanggang bersama gandingannya, Hoo Pang Ron pada kejohanan Terbuka Jepun 2025 di Tokyo, bermula 15 hingga 20 Julai ini.

Kejohanan berstatus Super 750 itu akan menjadi aksi sulung buat pasangan ranking ke-13 dunia tersebut selepas tersisih daripada saingan Malaysia Masters dan Terbuka Singapura bulan lalu akibat kecederaan buku lali yang dialami Su Yin.

“Kecederaan itu memberi tamparan hebat, tetapi kini saya sudah pulih sepenuhnya. Persiapan kami berjalan baik dan saya harap mampu pamer prestasi terbaik di Jepun,” katanya.

Su Yin, 22, mengalami kecederaan apabila tergelincir di tangga selepas tamat perlawanan dalam saingan Orleans Masters di Perancis pada 6 Mac lalu.

Selain Terbuka Jepun, pasangan itu turut dijadualkan menyertai Terbuka China di Changzhou dari 22 hingga 27 Julai ini, menjadikan kedua-dua kejohanan itu sebagai pentas penting bagi menguji tahap permainan mereka selepas berehat panjang.

“Memang sukar untuk kembali selepas cedera tetapi saya berusaha menyesuaikan diri secara fizikal dan mental untuk kekal konsisten,” katanya.

Mengenai persaingan di Tokyo, Su Yin menjangkakan pemain China bakal menjadi penghalang utama memandangkan mereka sering tampil konsisten dan berpengalaman dalam kejohanan besar.

Turut menggalas cabaran negara dalam kategori beregu campuran di Jepun dan China ialah tiga lagi pasangan negara iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.



Source link

OR

Scroll to Top