Suami bunuh isteri tidak mandi

Suami bunuh isteri tidak mandi


Bangkok: Berang kerana isterinya tidak mandi, seorang lelaki Thailand bertindak memukul wanita itu dengan kayu hingga mati.

Kejadian malang itu berlaku di sebuah rumah di Ban Tab Tao, daerah Mueang, Thailand.

Pegawai penyiasat, Leftenan Phayung Kulkhamsaeng berkata, pihaknya menahan lelaki itu pada 14 Julai lalu selepas menerima maklumat pada 10.50 malam memaklumkan mengenai serangan yang mengakibatkan kematian.

Katanya, polis bersama petugas kesihatan Hospital Roi Et dan pasukan kecemasan Pertubuhan Pentadbiran Daerah Khon Kaen menemui mangsa yang dikenali Praitun, 44, maut di dalam bilik air.

Pemeriksaan lanjut mendapati, badan dan kepala mangsa mengalami kecederaan konsisten dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Mayat kemudiannya dihantar ke unit forensik Hospital Roi Et untuk dibedah siasat.

Polis berjaya menahan suspek dikenal pasti Watcharin, 53, yang juga suami mangsa ketika bersembunyi di dalam bilik air rumah berdekatan.

Menurut jiran, pasangan itu kerap minum arak bersama dan sering bergaduh apabila mabuk.

Pada hari kejadian, pertengkaran tercetus selepas Watcharin menyuruh isterinya mandi.

Semasa disoal siasat, Watcharin mengaku memukul isterinya dengan kayu dalam keadaan mabuk dan marah, namun mendakwa dia tidak menyedari isterinya sudah meninggal dunia.

Watcharin mendakwa dia mengangkat isterinya ke kerusi dan cuba membawanya ke tandas untuk dimandikan, namun meminta bantuan jiran apabila menyedari isterinya tidak bertindak balas.

Pada mulanya, dia mendakwa isterinya tergelincir dan terjatuh dalam bilik air tetapi menukar pengakuan dengan mengatakan menggunakan kayu yang diletakkan di luar bilik air untuk memukul kepala isterinya.

Lapor KhaoSod , polis menahan Watcharin dan mengumpul bukti untuk meneruskan tindakan undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top