Suami menyusul selepas 5 hari isteri maut kemalangan jalan raya

Suami menyusul selepas 5 hari isteri maut kemalangan jalan raya


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang lelaki meninggal dunia pagi semalam, lima hari selepas kematian isterinya yang terkorban apabila mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan berhampiran kawasan Perumahan PPR Bukit Belah, Machang, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, kereta Toyota Vios yang dinaiki Nurihsan Nordin, 33, dan isterinya, Wan Nur Farahana Wan Hassan, 34, serta dua anak mereka yang berusia empat dan enam tahun bertembung dengan sebuah Proton Exora ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Klang ke kampung halaman di Salor sempena cuti Deepavali.

Ibu saudara arwah, Wan Samira Wan Hussain, 37, berkata lebih memilukan, mereka sekeluarga baharu mendapat tahu arwah Wan Nur Farahana yang meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan mengandung.

“Dalam kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga, arwah Nurihsan mengalami patah tulang pinggul serta cedera di paru-paru dan mendapatkan rawatan di Hospital Machang sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi anak mereka hanya mengalami lebam ringan.

“Selepas lima hari mendapatkan rawatan di hospital arwah dibenarkan pulang ke rumah pada petang Rabu lalu dan pada ketika itu keadaannya menunjukkan tanda positif, malah arwah juga boleh berbual dengan tetamu yang datang menziarahinya, namun pada esok paginya, arwah meninggal dunia,” katanya.

Wan Samira berkata Nurihsan yang juga pembantu jurutera di Klang, Selangor menghembuskan nafas terakhir di sisi ayahnya pada jam 5.30 pagi akibat sesak nafas ketika berada di rumahnya di Teluk Kandis, Salor sehari selepas dibenarkan keluar dari hospital.

“Detik yang memilukan apabila arwah sempat memeluk dan mencium dua anak perempuannya sebelum tidur, malah kedua-dua anaknya juga sempat menyuapkan makanan kepadanya ketika makan malam bersama dan itu menjadi kenangan terakhir yang amat menyentuh hati keluarga mereka, katanya.

Menceritakan semula sebelum kejadian yang menimpa, Wan Samira berkata, tidak ada ahli keluarga mengetahui pasangan itu balik ke kampung disebabkan sebelumnya Nurihsan memberitahu tidak jadi pulang akibat kepenatan bekerja.

“Malah ketika melawat Nurihsan di hospital, arwah ada menceritakan mereka sekeluarga sempat berpatah balik ke Klang kerana lupa untuk menutup suis pendingin hawa rumah dan ingat tidak jadi balik, namun Wan Nur Farahana beria-ria mengajak mereka pulang ke kampung.

“Sebelum itu, Nurihsan juga sempat menghubungi ibunya untuk memaklumkan mereka sekeluarga berada di Gua Musang, namun sebaliknya berlaku tidak lama selepas itu apabila pihak keluarga menerima panggilan telefon daripada polis yang memaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Wan Samira berkata, pemergian pasangan suami isteri ini meninggalkan kesan mendalam buat keluarga dan dua anak kecil mereka yang masih kecil kini menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

“Keluarga arwah Nurihsan akan mengambil alih untuk menjaga kedua-dua anak arwah dan amanah itu dipikul sebaik yang mungkin,” katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham Nurihsan disemadikan di sebelah pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Salor dan juga bersebelahan kubur arwah ibu Wan Nur Farahana.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top