Suami Nadia Kesuma rayu kerajaan bantu cari isteri hilang

Suami Nadia Kesuma rayu kerajaan bantu cari isteri hilang

Suami Nadia Kesuma rayu kerajaan bantu cari isteri hilang


am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Suami kepada pelakon Nadia Kesuma merayu supaya kerajaan menggerakkan usaha diplomatik untuk berhubung dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya yang dilaporkan hilang selepas

tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah sejak 14 Januari lalu

 Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata, dia tidak mahu memikirkan sebarang situasi buruk yang berlaku terhadap isterinya, namun keadaan ketika ini memerlukan tindakan segera.

 Sehubungan itu, katanya bantuan daripada kerajaan amat diperlukan bagi membantu usaha menjejaki isterinya.

 “Saya bukan sesiapa (hanya rakyat biasa), kalau menteri atau kerajaan ‘step in’ (campur tangan dengan menggerakkan usaha diplomatik ) ia jauh lebih baik dan rasa lebih cepat.

 “Mungkin apa yang saya cakap ini (sebagai rakyat biasa) ambil masa dua ke tiga hari (prosesnya) tetapi kalau Menteri yang buat keputusan dengan buat panggilan dan hubungi rakan sejawatnya (di Arab Saudi) mungkin ia hanya ambil masa dua ke tiga minit saja.

“Kita tahu (ketika ini) faktor masa sangat penting dan saya tak nak fikir tentang perkara yang paling buruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Bertam Putra, di sini, hari ini.

Katanya, ahli keluarga isterinya telah membuat laporan kepada Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah yang kedua-dua agensi itu begitu banyak membantunya dalam memberi bimbingan berhubung apa tindakan yang perlu dilakukan.

 “Saya juga ada bertanya dengan pihak konsulat sama ada saya perlu pergi ke sana tetapi buat masa ini saya diminta untuk bersedia kerana jika saya ke sana sekarang pun tidak dapat berbuat apa-apa.

 “Ini juga mungkin bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan yang mana saya akur dengan perkara itu,” katanya yang sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk terbang ke Jeddah.

 Mengulas lanjut, Muhammad Kamarul berkata, isterinya memang seorang individu yang suka mengembara dan sentiasa memaklumkan pergerakan kepadanya atau anak-anak apabila tiba di sesebuah negara.

 “Dia memang tidak pernah macam ini kerana ini bukan pengalaman pertamanya ke luar negara, malah tahun lalu juga dia telah menunaikan umrah bersama rakan-rakannya. Semua pergerakannya dia akan maklumkan kepada saya serta anak-anak,” katanya.

Muhammad Kamarul dan Nadia dikurniakan tiga cahaya mata berusia 11, 13 dan 15 tahun, manakala Nadia turut memiliki seorang anak perempuan berusia 25 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

 Dalam pada itu, Muhammad Kamarul berkata, anaknya juga telah menggunakan aplikasi penjejak dan menunjukkan isyarat telefon ibu mereka berada di lapangan terbang berkenaan, namun baterinya sudah semakin lemah.

 “Ini sudah masuk hari ketiga atau keempat kehilangan Nadia tetapi saya pujuk anak-anak supaya terus mendoakan keselamatan ibu mereka dan ditemui dengan selamat,” katanya yang memaklumkan isterinya menyertai kumpulan umrah dan ziarah dari sebuah agensi pelancongan terdiri daripada 21 peserta bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.

 Terdahulu, media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah. 

Perkara ini dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah. 

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top