syafil.syazwan@hmetro.com.my
Filem: The Voice of Hind Rajab
PENGARAH: Kaouther Ben Hania
PELAKON: Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury
TERBITAN: Mime Films, Tanit Films, Film4, MBC Studios, Watermelon Pictures, Plan B Entertainment dan Sunnyland Film
TAYANGAN: 8 Januari 2026
ULASAN: Syafil Syazwan Jefri
(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)
Apabila berbicara mengenai genre filem dokumentari, saya akui ada sedikit rasa skeptikal yang menyelinap dalam hati.
Selalunya, dokumentari sering dikaitkan dengan naratif yang mendatar atau susunan fakta yang kadangkala terasa ‘kering’.
Namun, sangkaan itu meleset sama sekali sebaik sahaja lampu panggung dipadamkan dan skrin mula memaparkan judul The Voice of Hind Rajab.
Saya tergamam. Saya terdiam.
Dokumentari ini bukan sekadar sebuah naskhah filem, tetapi ia adalah sebuah tamparan hebat kepada kemanusiaan yang sedang leka.
Satu perkara yang membuatkan saya tidak menyangka adalah keberanian pengarahnya, Kaouther Ben Hania yang mengecilkan skop visual, tetapi meluaskan impak penceritaan.
Bayangkan, set latar filem ini hanya memfokuskan kepada ruang pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).
Namun, dalam ruang sempit dan terhad, ia menjadi sebuah papan cerita yang sangat ‘luas’ untuk menceritakan sebuah tragedi besar.
Ruang pejabat itu sarat emosi yang pelbagai, ia bercampur baur antara harapan, kegelisahan, tekanan dan akhirnya kedukaan yang tidak dapat digambarkan.
Kita dibawa melihat di sebalik tabir proses koordinasi laluan menyelamat yang memakan masa puluhan jam walaupun jarak lokasi sepatutnya hanya memakan masa lapan minit.
Selama ini, kita hanya melihat ambulans bergegas di jalanan, namun melalui filem ini, kita sedar betapa peritnya perjuangan pasukan penyelamat di Gaza, Palestin untuk mendapatkan ‘laluan selamat’ daripada pihak musuh.
Setiap minit yang berlalu bukan sekadar angka, tetapi ia adalah nyawa yang sedang dipertaruhkan di hujung talian.
Keputusan Ben Hania untuk menggunakan audio rakaman panggilan sebenar kanak-kanak berusia enam tahun, Hind Rajab atau nama timangannya Hanood, adalah satu tindakan yang sangat tepat.
Ia adalah senjata paling berkuasa dalam filem ini untuk membuka mata dunia.
Tanpa perlu pelakon kanak-kanak untuk memegang watak Hanood, hanya dengan mendengar suaranya dan melihat foto sebenar sosok kecil itu sudah cukup untuk menguji ketahanan emosi sesiapa sahaja yang menonton.
Dada saya memberontak di kerusi penonton. Setiap kali suara anak kecil itu berkumandang meminta tolong, sebak yang ditahan terasa seperti mahu pecah.
Siapa sangka, rakaman audio yang statik itu mampu membawa saya dan ratusan penonton lain seolah-olah turut berada di dalam kereta bersama Hanood.
Saya seakan-akan dapat merasakan kedinginan dan bau darah dalam kenderaan yang dihimpit jenazah saudaranya yang maut dibunuh tentera Zionis yang kejam.
Ketakutan Hanood itu benar. Ia bukan lakonan. Ia bukan skrip. Saat dia merintih meminta tolong apabila ternampak kereta kebal mendekati tempat perlindungannya.
Suara itu masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga kini. Ia adalah satu trauma yang dipindahkan dari layar lebar terus ke dalam jiwa penonton.
Paling hebat, Ben Hania turut menyelitkan ‘footage’ asal situasi dalam pejabat yang nampak sangat mirip dengan apa yang dilakonkan pelakon. Itu semua dapat menterjemahkan situasi sebenar kepada penonton.
Sesuatu yang perlu kita sedari, filem berimpak besar sebegini mungkin tidak akan mendapat ‘lampu hijau’ untuk ditayangkan secara meluas di seluruh dunia atas faktor sensitiviti politik antarabangsa.
Malaysia sangat bertuah kerana menjadi antara 20 negara yang diberi peluang untuk menayangkannya.
Walaupun angka jumlah lokasi tayangan di negara kita mungkin agak kecil dan terhad, itu bukan alasan untuk kita memalingkan wajah.
Saya yakin, biarpun ia bermula dengan suara yang kecil, gema itu akan menjadi kuat jika lebih ramai yang hadir ke pawagam untuk memberikan sokongan.
Kehadiran kita di pawagam bukan sekadar untuk hiburan, tetapi sebagai tanda solidariti.
Filem ini mengajar kita bahawa di sebalik angka statistik kematian yang kita baca setiap hari, ada nama, ada wajah dan ada suara yang mengharapkan bantuan, namun berakhir dengan tragedi yang menyayat hati.
Secara keseluruhannya, The Voice of Hind Rajab adalah sebuah naskhah wajib tonton yang bersifat wajib difahami.
Ia tidak perlu berbunga-bunga dengan sinematografi yang cantik kerana realiti di Gaza itu sendiri sudah cukup ‘berdarah’ untuk digambarkan.
Secara jujur, saya keluar dari panggung dengan rasa marah yang meluap-luap terhadap ketidakadilan, namun pada masa sama saya berasa lebih kerdil.
Filem ini berjaya mencapai objektifnya iaitu meninggalkan kesan mendalam yang memprovokasi pemikiran kita mengenai nilai nyawa seorang manusia.Pesanan saya kepada anda, cari masa untuk menonton.
Jangan biarkan suara Hanood hilang begitu sahaja dalam lipatan sejarah. Jangan pernah berhenti bersuara untuk Gaza dan Palestin.
Jika suara kecil berusia enam tahun itu mampu menggoncang emosi dunia, bayangkan apa yang mampu kita lakukan jika kita bersatu suara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






