Emosi kumpulan trio adik-beradik, KRU tersentuh ketika membuat persembahan apabila mengenangkan keadaan kesihatan bapa mereka yang baru melalui detik kritikal beberapa minggu lalu.
Suasana konsert yang pada mulanya riuh dengan sorakan dan nyanyian peminat bertukar pilu apabila Edry memaklumkan tentang kesihatan bapanya.
“Terima kasih kepada semua yang sudi datang pada malam ini, saya sebak bukan kerana teringat kepada ayah saya yang keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dia hadir pada hari ini.
“Tapi, saya harap semua boleh mendoakan ibu bapa kami,” katanya sambil menahan sebak.

Bagaimanapun, usai sahaja konsert berlangsung, Datuk Norman memaklumkan, sekitar tiga minggu lepas, bapa mereka, Abdul Halim Kamal, 84, terpaksa dimasukkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.
Malah, selaku anak sulung, Norman berkata, persiapan konsert yang berlangsung baru-baru ini turut dilalui dalam keadaan mereka tiga beradik terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari.
Bahkan, acara latihan (rehearsal) untuk konsert GenKRU The Finale ini juga hanya dilakukan sekali sahaja.
“Apa yang membuatkan saya sebak dan sedih apabila Edry menyebut mengenai bapa kami.
“Lebih kurang tiga minggu yang lalu, ayah kami berada dalam kritikal sehingga perlu dimasukkan ke hospital.
“Ketika kami buat persediaan untuk konsert pun otak saya serabut apatah lagi dua beradik saya yang lain. Hari-hari ulang alik ke hospital sambil buat latihan untuk konsert,” jelasnya.
Namun, apa yang lebih memilukan, bapa mereka sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk hadir menonton konsert tersebut meskipun dalam keadaan tidak begitu sihat.
Dan, bagi mengelakkan ayah mereka berdepan keletihan, Norman mencadangkan agar bapanya hadir pada showcase khas yang bakal diadakan awal Januari nanti.
“Apa yang turut membuatkan kami sebak sebenarnya ialah ayah kami nak tengok kami perform pada malam konsert.
“Cuma bila dia kata nak tengok konsert dalam keadaan dia yang kurang sihat, saya cuba lembutkan hati dia dengan kata yang konsert malam ini ramai orang jadi takut dia tak selesa.
“Jadi saya cadang dan berkata pada bapa saya untuk bawa dia menaiki cruise sewaktu showcase kami pada awal Januari nanti.
“Dan Alhamdulillah ketika ini, dia sudah semakin pulih,” tambahnya.
Tidak habis disitu, Iman Tang selaku penganjur konsert GenKRU berharap dan memohon agar peminat dan orang ramai di luar sana dapat mendoakan kesihatan bapa Norman, Yusry dan Edry.
“Mungkin apa yang dikongsikan Norman sedikit peribadi. Tapi saya minta agar kita semua dapat mendoakan kesihatan bapa mereka semua,” katanya.

Terdahulu, kumpulan KRU yang terdiri daripada Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry berjaya menggamatkan stadium dengan persembahan yang cukup bertenaga dihadapan hampir 12,000 penonton yang hadir.
Pada malam konsert tersebut, mereka telah menyanyikan kira-kira 16 buah lagu termasuklah lagu bersama artis jemputan seperti Rabbani, Datin Juliana Banos, Elite dan Adam AF2.






