July 27, 2024

Sudah menang KKB, masa tubuh jawatankuasa khas pantau janji manifesto – Santhara

Sudah menang KKB, masa tubuh jawatankuasa khas pantau janji manifesto – Santhara


KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Pakatan Rakyat (PH) di Kuala Kubu Bharu masih lagi diraikan namun peringatan diberikan supaya janji-janji terutamanya dalam manifesto pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu ditunaikan sebaik mungkin.

Menurut bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, banyak janji telah ditaburkan kepada pengundi sehingga calon PH berjaya mendapat 14,000 undi namun ia tidak sepatutnya sekadar ‘janji bulan bintang’.

Sebaliknya, Santhara yang juga mantan Ahli Parlimen Segamat sebelum ini sudah mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan yang penglibatannya tidak terhad dalam kalangan pimpinan kerajaan sebaliknya juga pembangkang selain pemimpin masyarakat serta NGO.

“Antara yang menarik perhatian terutamanya komuniti India ketika PRK KKB ialah pengumuman Menteri KPKT yang akan bina penempatan untuk 245 keluarga peneroka estet yang menunggu puluhan tahun dengan nilai RM75 juta daripada kerajaan pusat.

“Saya minta sangat-sangat cadangan ini diteliti oleh kerajaan hari ini. Tubuhkan satu jawatankuasa ‘Pemantau Janji-Janji’ manifesto KKB yang mana ada pimpinan kerajaan dan juga dalam kalangan pembangkang. Biar ada check and balance untuk pastikan janji ditunaikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Santhara, dengan menubuhkan jawatankuasa berkenaan sudah tentu rakyat akan dapat menilai keikhlasan sebenar wakil rakyat yang bersuara untuk rakyat.

“Ada kalanya rakyat rasa tertipu apabila manifesto itu sekadar janji namun tidak tertunai bukan sahaja penggal itu sebaliknya untuk tempoh sekian lama. Kerana itu juga mereka muak dan enggan keluar mengundi.

“Saya telah beri cadangan ini ketika waktu kempen lagi, jadi harapnya janganlah persiakan peluang ini. Biar rakyat menilai sejauh mana ikhlasnya wakil rakyat kita,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top