KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wany Hasrita, 32, memaklumkan tidak berdepan sebarang masalah untuk berjauhan dengan suami, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun, 32, yang kini menetap di Kuching, Sarawak.
Kata Wany dia reda dan akur dengan perkara itu demi kelangsungan kerjaya masing-masing.
“Ketika kami mula-mula berkahwin dahulu, memang agak sukar untuk tinggal berjauhan. Tapi sekarang kami sudah terbiasa dengan keadaan itu.
“Yang penting kami manfaatkan masa terluang masing-masing untuk berada di samping satu dengan lain.
“Sebagai isteri saya maklum bahawa tempat saya adalah di sisi suami. Jadi setiap kali cuti saya akan terbang ke Sarawak untuk bersama dia dan begitu juga sebaliknta,” katanya.
Wany berkata demikian pada majlis tayangan episod 14 dan 15 drama Pabila Dia Tersenyum terbitan Viu. Lagu Jahat yang dinyanyikan pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu merupakan runut bunyi drama berkenaan.
Penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur itu sah bergelar isteri kepada Mohd. Al- Adib pada 2022 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Aishah Al Iman.
Dalam masa yang sama, Wany juga memaklumkan akan kembali aktif dalam dunia hiburan selepas beberapa tahun memperlahankan pembabitannya dalam bidang tersebut.
“Saya kena mulakan semula momentum itu sebab bidang nyanyian ini periuk nasi saya, jadi tahun ini saya bekerja keras dan beri yang terbaik untuk capai apa yang saya inginkan untuk kerjaya saya,” kongsinya. – UTUSAN MALAYSIA