Sufi kembali jual daging salai untuk lunas hutang

Sufi kembali jual daging salai untuk lunas hutang



am@hmetro.com.my

Jitra: Hutang yang belum dilunaskan menyebabkan Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, yang hilang separuh tempurung kepalanya mahu kembali menjual daging salai demi kelangsungan hidup.

Kakitangan fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar itu berkata perayaan Aidilfitri lalu disambut secara ala kadar dengan hanya memakai baju raya lama yang masih elok.

Menurutnya, dia memilih menyambut lebaran bersama ibunya, Noraini Ishak, 71, secara sederhana kerana memikirkan masih banyak hutang yang perlu dilunaskan.

Katanya, dia kini perlu melunaskan bayaran RM4,680 kepada jururawat peribadi yang menjaganya di HSB selama tiga minggu selepas menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepala pada 25 Februari lalu.

“Keadaan saya semakin pulih dan saya merancang kembali menjual daging salai selepas raya ini dan berharap masih ada yang menyokong perniagaan saya.

“Ketika dirawat di HSB, ibu tidak mampu jaga, jadi kami upah jururawat peribadi dan bayarannya belum lunas sepenuhnya. Selain itu, saya juga perlu jelaskan bayaran pinjaman rumah RM1,300 dan pinjaman peribadi RM500 setiap sebulan.

“Saya kini hanya dibayar separuh gaji (RM1,500 sebulan) kerana mengambil cuti sakit lebih setahun, jadi saya harap dapat bekerja semula dengan segera,” katanya.

Menyentuh mengenai pembedahan memasang implan, Muhammad Sufi berkata, dia gembira kerana keadaan fizikalnya terutama di bahagian kepala kembali kelihatan normal.

“Sebelum ini ada orang takut tengok keadaan kepala saya, tapi sekarang semuanya sudah kembali normal selepas pembedahan memasang implan tempurung kepala berjaya.

“Saya juga sudah boleh makan apa saja, tidak perlu berpantang, percakapan juga semakin jelas dan tidak lambat seperti sebelum pembedahan,” katanya.

Pada Februari lalu, media melaporkan nasib menimpa Muhammad Sufi mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM15,000.

Sebelum itu, Muhammad Sufi memuat naik kandungan di Tik Tok menjual daging salai bagi mencari dana untuk menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepalanya.

Beliau sebelum ini pernah koma selama lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepala selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah, di sini, dua tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top