Sufian tuntut aksi lebih bertenaga skuad B-18 di separuh akhir

Sufian tuntut aksi lebih bertenaga skuad B-18 di separuh akhir


Skuad hoki lelaki negara melangkah ke separuh akhir Piala Asia B-18 selepas muncul naib juara Kumpulan B. Foto Malaysian Hockey Confederation

JURULATIH skuad remaja negara, Mohd Sufian Mohamad bersyukur dengan kejayaan Young Tigers mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia Bawah 18 tahun (B-18) di China.

Malah, beliau meluahkan rasa bangga dengan semangat juang tinggi yang diperagakan anak buahnya untuk berada dalam kelompok empat terbaik kejohanan berkenaan.

Young Tigers mara separuh akhir selepas mengikat Uzbekistan, 2-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Pusat Latihan Hoki Nasional Dazhou pada Rabu.

Kelebihan jaringan yang memihak Young Tigers menyaksikan Malaysia meraih kedudukan kedua di belakang Jepun dan akan berdepan juara Kumpulan A pada Jumaat.

“Syukur. Alhamdulillah, kita berjaya layak ke separuh akhir walau apa pun keputusan hari ini,” katanya selepas perlawanan.

Bagaimanapun di sebalik keputusan itu, Sufian mengakui masih belum berpuas hati dengan persembahan ditampilkan anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

“Masih terdapat kelemahan dalam kalangan pemain-pemain terutamanya dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti,” katanya.

Mengulas lanjut, Sufian berkata struktur permainan skuad negara ketika berdepan Uzbekistan dilihat goyah dan memerlukan penambahbaikan sebelum aksi separuh akhir.

“Kita akan manfaatkan hari rehat untuk menilai dan mengatur semula strategi bersama barisan kejurulatihan dan pemain.

“Separuh akhir nanti pasti berbeza kerana semua pasukan dari Kumpulan A dan B sangat kuat.

“Saya harap pemain bersedia sepenuhnya, fokus kepada pemulihan fizikal dan mental serta memberikan aksi terbaik di pentas separuh akhir nanti,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top