Sukan Remaja Asia pentas lahirkan pemenang pingat Olimpik

Sukan Remaja Asia pentas lahirkan pemenang pingat Olimpik


SUKAN Remaja Asia mampu menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai atlet di benua itu yang berpotensi untuk meraih podium dalam temasya lebih besar pada masa akan datang.

Keyakinan tersebut diluahkan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Ia bersempena dengan pelancaran logo Sukan Remaja Asia di Manama, Bahrain pada Ahad.

Pelancaran tersebut disempurnakan Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Tertinggi Belia dan Sukan, Presiden Autoriti Sukan dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Bahrain, Shaikh Khalid Hamad.

“Kami yakin di bawah kepimpinan cemerlang Shaikh Khalid dan Shaikh Isa Ali, Sukan Remaja Asia berupaya menjadi platform bagi melahirkan pemenang pingat Sukan Asia dan Sukan Olimpik pada masa depan,” ujar Mohamad Norza.

Edisi ketiga temasya tersebut dijadualkan berlangsung di Bahrain dari 22 hingga 30 Oktober depan.

Sebagai rekod, pada mesyuarat Lembaga Eksekutif OCA 2 Disember lalu, Jawatankuasa Olimpik Bahrain secara rasmi mengumumkan untuk menganjurkan Sukan Remaja Asia dengan sokongan penuh daripada kerajaan Bahrain.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut melahirkan penghargaan di atas kesediaan Bahrain menjadi tuan rumah temasya sukan buat golongan belia itu.

“Bagi OCA dan semua 45 anggota NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan), kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Jawatankuasa Olimpik Bahrain dan kerajaan Bahrain atas usaha luar biasa bersedia menjadi tuan rumah Sukan Remaja Asia walaupun hanya diberi masa 10 bulan untuk menganjurkannya,” katanya.

Sebanyak 21 sukan akan dipertandingkan iaitu olahraga, badminton, bola keranjang (3×3), equstrian, e-sukan, futsal, golf, handball, judo, jujitsu, seni mempertahankan diri campuran, berbasikal, renang, pingpong, taekwondo, triatlon, gusti, angkat berat, babaddi, bola tampar dan teqball.

Ia melibatkan sejumlah 26 disiplin dan 207 acara, terdiri daripada 94 acara untuk lelaki, 92 acara untuk wanita dan 21 acara campuran.



Source link

OR

Scroll to Top