Sukan SEA: Gagal capai sasaran empat emas, Rexy sedia ambil tanggungjawab

Sukan SEA: Gagal capai sasaran empat emas, Rexy sedia ambil tanggungjawab


PENGARAH Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky bersedia mengambil tanggungjawab susulan kegagalan anak buahnya mencapai sasaran yang ditetapkan pada Sukan SEA Thailand 2025 di Pathum Thani pada Ahad.

Rexy berkata, tanggungjawab itu termasuk melepaskan jawatan sekiranya menerima desakan daripada mana-mana pihak selepas gagal membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membawa pulang empat pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

“Kalau bercakap mengenai tanggungjawab, pasti ada pihak yang akan berkata kamu harus meletak jawatan, jadi saya sedia.

“Ini kerana sasaran empat emas ditetapkan dan orang ramai pasti akan mempersoalkan kegagalan mencapainya,” katanya.

Menurut Rexy, secara realistiknya, berdasarkan tahap keupayaan dan prestasi pemain beregu, mereka berpotensi mencapai sasaran berkenaan, namun ia tidak kesampaian.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab itu sedia dipikul kerana Sukan SEA mempunyai prestijnya tersendiri memandangkan ia diadakan setiap dua tahun.

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah muncul satu-satunya wakil badminton negara yang merangkul emas selepas berhempas-pulas menundukkan gandingan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17.

Kejayaan itu menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk pingat emas beregu wanita di Sukan SEA, kali terakhir dimenangi oleh Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015 di Singapura.

Dalam pada itu, pemain beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia yang sekadar merangkul perak bersama pasangan Soh Wooi Yik, pula tidak bersetuju sekiranya Rexy melepaskan jawatan.

Beliau sedar pakar jurulatih dari Indonesia itu mempunyai tanggungjawab besar memantau prestasi tiga sektor di bawahnya iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Katanya, sekarang bukan masa menuding kepada mana-mana pihak dan lebih baik seandainya semua pihak bekerjasama mencari jalan penyelesaian.

Aaron-Wooik, beregu nombor dua dunia, kecundang di pentas final di tangan beregu Indonesia yang menghuni ranking kelapan dunia, Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani, 14-21, 17-21.

Sementara juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal ke final selepas tewas kepada pasangan tuan rumah Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 15-21, 16-21 pada separuh akhir pada Sabtu.

Pasukan badminton negara menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan satu emas, dua perak dan enam gangsa. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Rexy Mainaky bersedia melepaskan jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara susulan kegagalan mencapai sasaran empat pingat emas di Sukan SEA
  • Beliau menyatakan kesiapan mengambil tanggungjawab atas kegagalan itu yang mencetuskan desakan untuk berundur
  • Pearly Tan-M. Thinaah meraih satu-satunya pingat emas untuk Malaysia, mengakhiri penantian sedekad untuk pingat emas beregu wanita di Sukan SEA
  • Aaron Chia, pemain beregu lelaki nombor satu negara, tidak setuju Rexy berundur dan menekankan pentingnya kerjasama untuk mencari penyelesaian
  • Pasukan badminton Malaysia menamatkan Sukan SEA dengan satu emas, dua perak dan enam gangsa



Source link

OR

Scroll to Top