SKUAD bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara perlu menjadikan Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini sebagai pentas menebus dua kegagalan berturut-turut di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23.
Menurut penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, kegagalan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Arab Saudi tahun depan harus dijadikan motivasi untuk membuktikan kemampuan serta menebus pelaburan persatuan.
“Biarlah pencapaian di Sukan SEA Thailand nanti menebus dua kegagalan tahun ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM menambah, status penyertaan skuad B-23 di temasya dwitahunan itu sama ada diletakkan dalam kategori A atau B tidak perlu dijadikan polemik kerana bola sepak tetap menjadi acara tradisi dan tarikan utama Sukan SEA.
“Tak kisahlah A atau B, yang penting kita tetap hantar penyertaan. Itu sebab ia digelar ibu kepada segala pingat.
“Jadi juara atau tidak, itu soal kedua. Tapi kalau dapat emas sudah tentu ia dapat mengembalikan maruah skuad B-23,” ujarnya.
Pada masa sama, Pekan turut mengingatkan agar pengurusan persatuan lebih realistik dan tidak sekadar melaungkan keyakinan meraih emas tanpa usaha konsisten.
Menurutnya, sekiranya Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan skuad B-23 di bawah kategori B ia boleh dianggap keputusan yang wajar kerana Malaysia gagal meraih pingat dalam tiga edisi terakhir Sukan SEA.
Sebagai rekod, pada awal bulan lalu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan bahawa status skuad B-23 sama ada diletakkan dalam kategori A atau B hanya diputuskan selepas berakhirnya kempen Kelayakan Piala Asia di Thailand.
Jelasnya, sekiranya pasukan Harimau Muda itu layak ke Piala Asia, maka kemungkinan skuad B-23 akan disenaraikan dalam kategori A di saingan Sukan SEA itu nanti.
Penyertaan dalam kategori A membolehkan pasukan atau atlet menerima tajaan penuh daripada pihak kerajaan, manakala bagi kategori B, kos perlu ditanggung sendiri oleh persatuan sukan masing-masing.
Namun, perbelanjaan itu akan dibayar semula sekiranya mereka berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Kali terakhir skuad bola sepak negara berada dalam kategori A adalah pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.
Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain menutup kempen Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di tangga ketiga selepas tewas 1-2 kepada Thailand pada perlawanan terakhir.
Thailand muncul juara kumpulan dengan tujuh mata, Lubnan di tempat kedua berdasarkan perbezaan jaringan, manakala Mongolia berada di tangga tercorot.
Malaysia sebelum ini pernah layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 edisi 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada 2018.
Ringkasan AI
- SKUAD bola sepak B-23 negara perlu membuktikan kemampuan di Sukan SEA 2025 setelah gagal di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23
- Datuk Dr Pekan Ramli menyarankan kegagalan tersebut dijadikan motivasi untuk membuktikan kemampuan dan menebus pelaburan
- Status penyertaan skuad B-23 di Sukan SEA, sama ada kategori A atau B, tidak dianggap sebagai isu penting berbanding pencapaian skuad
- Majlis Sukan Negara mungkin meletakkan skuad B-23 dalam kategori B kerana Malaysia gagal meraih pingat dalam tiga edisi terakhir Sukan SEA
- Penyertaan dalam kategori A membolehkan tajaan penuh dari pihak kerajaan, sedangkan kategori B memerlukan persatuan sukan membiayai sendiri kos penyertaan tetapi akan dibayar semula jika berjaya memenangi pingat gangsa