Sukan SEA: Ultras Thailand tempelak pegawai sukan

Sukan SEA: Ultras Thailand tempelak pegawai sukan


ULTRAS Thailand melancarkan serangan paling keras terhadap pegawai sukan negara itu menjelang acara bola sepak Sukan SEA, menuduh pihak berkuasa membuat keputusan tanpa memahami realiti bola sepak dan tidak menghormati penyokong yang menjadi nadi pasukan.

Kumpulan penyokong tegar itu menyifatkan dasar baharu yang mewajibkan pendaftaran kad pengenalan (PDPA) sebagai peraturan yang lahir daripada birokrasi tanpa pengetahuan asas, sambil mempersoalkan kelayakan pegawai yang menggubal polisi tersebut.

“Pegawai bercakap tentang keselamatan data tetapi adakah mereka tahu bagaimana sistem stadium beroperasi?

“Atau mereka hanya melihat dari kerusi berhawa dingin? Jangan ajar penyokong tentang stadium kalau tak pernah turun padang,” kata Ultras Thailand dalam kenyataan paling pedas yang pernah dikeluarkan.

Mereka menambah bahawa pegawai yang memaksa penyokong menyerahkan maklumat peribadi sebenarnya tidak mampu menjamin keselamatannya.

“Mereka suruh rakyat daftar kad pengenalan tetapi siapa yang menjamin data itu tidak bocor?

“Pegawai hanya pandai beri arahan! Tanggungjawab bila berlaku kebocoran, siapa yang akan menanggung? Penyokong, bukan mereka,” ujar kumpulan itu.

Ultras Thailand juga mengecam tindakan menukar zon sorakan dalam stadium, menyifatkannya keputusan yang tidak masuk akal dan tidak mencerminkan sebarang pemahaman bola sepak.

“Meletakkan penyokong pelawat di belakang gol dan memindahkan kami ke tepi? Itu bukan kesilapan teknikal tapi itu keputusan yang hanya boleh dibuat oleh seseorang yang tidak pernah menonton bola sepak secara langsung,” katanya.

Kumpulan itu menegaskan zon belakang gol ialah kawasan yang membentuk identiti Ultras Thailand dan menjadi tekanan utama kepada pasukan lawan.

“Kalau pegawai tidak faham fungsi tekanan di belakang gol, jangan cuba ubah sesuatu yang mereka sendiri tidak mengerti,” tegas mereka lagi.

Ultras Thailand mengingatkan bahawa mereka telah mengembara ke lebih 30 negara sepanjang hampir dua dekad, termasuk Sukan SEA yang pernah menarik hampir 300 ahli mereka ke Malaysia.

“Kami sudah melihat standard penyokong dan pengurusan stadium di seluruh Asia.

“Pegawai yang tidak keluar dari pejabat tidak layak menilai pengalaman kami,” sindir mereka.

Pun begitu, Ultras Thailand berikrar tetap hadir di venue Sukan SEA sebagai tanda setia kepada pasukan kebangsaan, namun boikot kemasukan ke stadium akan diteruskan sehingga dua perkara diperbetulkan iaitu peraturan PDPA dihentikan dan zon sorakan tradisi di belakang pintu S dipulihkan.

“Kami sokong Thailand tetapi kami tidak akan tunduk kepada keputusan pegawai yang tidak faham dunia bola sepak,” ujar kumpulan itu.

Sukan SEA Thailand bermula dari 9 Disember hingga 20 Disember di dua wilayah iaitu di Bangkok dan Chonburi.

Satu lagi wilayah iaitu Songkhla sepatutnya menjadi tuan rumah bersama tetapi dibatalkan akibat banjir teruk, menyaksikan 10 acara sukan termasuk bola sepak dipindahkan ke Bangkok.

Acara bola sepak lelaki dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 18 Disember di Bangkok dan Chiang Mai.

Ringkasan AI

  • ULTRAS Thailand menyerang pegawai sukan kerana keputusan PDPA tanpa mengerti realiti bola sepak
  • Mereka mempersoalkan kelayakan pegawai yang tidak menjamin keselamatan data peribadi penyokong
  • Menentang perpindahan zon sorakan dalam stadium, menganggapnya tidak masuk akal
  • Mengingatkan akan pengalaman mereka di lebih 30 negara sebagai penyokong bola sepak
  • Berikrar akan terus menyokong tetapi memboikot kemasukan ke stadium sehingga peraturan PDPA dihentikan dan zon sorakan tradisi dipulihkan



Source link

OR

Scroll to Top