Sukan terjun lubuk emas di Sukan SEA Thailand – Shahidan

Sukan terjun lubuk emas di Sukan SEA Thailand – Shahidan


Datuk Seri Shahidan Kassim

MALAYSIA optimis untuk mengekalkan dominasi dalam sukan terjun biarpun hanya empat acara akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Presiden Akuatik Malaysia (MAS), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, senarai atlet yang berpotensi meraih pingat emas telah dikenal pasti dan dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

“Kita sudah kenal pasti atlet yang dijangka boleh mendapat emas, begitu juga dalam sukan terjun.

“Tapi jumlah pingat, saya tak boleh sebut, biar menteri (Hannah Yeoh) yang sebut,” katanya.

Walaupun acara terjun dikurangkan oleh tuan rumah, namun ia tidak menjejaskan keyakinan Malaysia yang sudah lama menguasai disiplin tersebut.

Imbas kembali... Enrique Maccartney Harold menyumbang emas dalam acara platform lelaki di Sukan SEA Kemboja.

Imbas kembali… Enrique Maccartney Harold menyumbang emas dalam acara platform lelaki di Sukan SEA Kemboja.

Shahidan menegaskan bahawa Malaysia sering menyapu bersih semua pingat emas dalam acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan berkenaan.

“Terjun ini kita tahu Malaysia sering menguasainya. Dahulu masa saya jadi presiden, tuan rumah pertandingkan 11 acara dan kesemua menjadi milik Malaysia.

“Kita juga telah memenangi di peringkat Olimpik yang meraih perak dan gangsa. Jadi terjun ini kita akan terus berusaha untuk menguasai keadaan,” katanya.

Shahidan juga berkata, peningkatan jumlah atlet pelapis turut akan dipohon kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kesinambungan dominasi dalam sukan akuatik terutama renang dan terjun.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top