ADAKALANYA mata terlalu berat untuk dibuka, tubuh terasa lesu dan jiwa seakan enggan bergerak sehingga sukar untuk bangun meskipun azan Subuh sudah berkumandang.
Niat asal mahu bangun awal untuk solat dengan tenang, tetapi akhirnya diri tewas dengan bantal gebu dan tilam empuk yang enak mengulit tidur.
Pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, keadaan itu bukan sahaja berpunca daripada keletihan, sebaliknya ada rahsia besar yang Rasulullah SAW dedahkan mengenai ikatan syaitan terhadap manusia sewaktu tidur.
USTAZAH ASMA’
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan akan mengikat tiga ikatan di atas tengkuk kepala seseorang daripada kamu ketika tidur. Syaitan akan berkata: ‘Malam masih panjang bagimu, maka tidurlah.’ Jika dia bangun lalu mengingati ALLAH, terurailah satu ikatan. Jika dia berwuduk, terurailah ikatan kedua. Jika dia solat, terurailah ikatan ketiga. Maka pada pagi itu dia akan bersemangat dan jiwanya tenang. Namun jika tidak, dia akan bangun dengan jiwa yang resah dan penuh kemalasan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Melihat hadis itu, jelas Ustazah Asma’, ia membutikan bahawa zikrullah, wuduk dan solat Subuh bukan sekadar ibadah semata-mata, tetapi menjadi benteng rohani yang melepaskan jiwa daripada belitan syaitan.
Beliau turut mengingatkan, para sahabat Rasulullah SAW adalah contoh menakjubkan dalam menjaga solat Subuh.
“Dalam Perang Khandaq, mereka bergilir-gilir berjaga malam untuk mempertahankan kubu. Walau dalam kepenatan yang luar biasa, apabila azan Subuh berkumandang, mereka tetap bangun menunaikan solat bersama Rasulullah SAW.
“Jika mereka yang berperang pun tidak lalai daripada Subuh, bagaimana pula kita yang hanya bergelut dengan tilam dan selimut?” soalnya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.
Ustazah Asma’ kemudian mengemukakan pandangan Hasan Al-Basri Rahimahullah yang pernah ditanya mengapa ada orang tidak mampu bangun malam untuk beribadah.
“Hasan Al-Basri menjawab ‘Kamu telah dikekang oleh dosa-dosamu pada siang hari’.

SEBELUM tidur, ambillah wuduk, membaca doa tidur, ayat Kursi dan surah al-Ikhlas, al-Falaq serta an-Nas sebagai benteng diri daripada gangguan syaitan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Begitulah, dosa yang tidak dijaga pada siang hari sering menjadi belitan yang membuat hati berat untuk bangun Subuh dan qiamullail,” terangnya.
Bagi menguatkan benteng diri, Ustazah Asma’ mengajak umat Islam untuk mengikuti beberapa amalan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum tidur.
“Ia termasuklah berwuduk sebelum tidur, membaca doa tidur, ayat Kursi dan surah al-Ikhlas, al-Falaq serta an-Nas.
“Semua ini ibarat pakaian perlindungan jiwa sebelum kita memejamkan mata,” katanya.
Ustazah Asma’ menegaskan, solat Subuh adalah saksi iman seseorang.
“Barang siapa berjaya melawan godaan syaitan pada awal pagi, insya-ALLAH sepanjang harinya akan dipenuhi kekuatan dan keberkatan,” coretnya.