Sukar cari pengganti Chong Wei

Sukar cari pengganti Chong Wei


SELEPAS berakhirnya era kegemilangan Datuk Seri Lee Chong Wei, arena badminton perseorangan lelaki negara dilihat seakan sukar melahirkan pemain bertaraf dunia.

Kekosongan yang ditinggalkan ikon negara itu bukan sahaja mencabar, malah membuka persoalan lebih besar: adakah sistem pembangunan pemain negara gagal atau adakah generasi sekarang kekurangan karakter dan ketahanan mental untuk mengikuti jejak langkah Chong Wei?

Menurut legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, situasi itu jelas kelihatan melalui kedudukan pemain Malaysia dalam senarai ranking dunia yang kini jauh ketinggalan berbanding kuasa besar badminton seperti Jepun, China, Denmark dan India.

Datuk Razif Sidek

“Kalau kita lihat ranking dunia, kita jauh lagi. Kita ketinggalan di belakang China, Indonesia, Jepun dan Denmark.

“Malah, Korea Selatan pun hampir setaraf dengan kita,” katanya kepada Sukan Sinar.

‘Yo-yo’

Mengulas lanjut, Razif menegaskan Malaysia menghadapi masalah menghasilkan generasi pemain perseorangan yang mantap dan konsisten.

Menurutnya, walaupun terdapat nama-nama yang disebut-sebut, kedudukan sebenar mereka di ranking dunia masih belum cukup untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Dah tak ada pemain perseorangan lelaki yang outstanding. Cuma nama sahaja menonjol tapi kedudukan (ranking) belum sampai tahap itu.

“Kita kena akui bahawa kita susah nak hasilkan generasi lengkap selepas Chong Wei.

“Dulu saya nampak Lee Zii Jia boleh ganti tempat Chong Wei tetapi dia tak konsisten serta kerap alami kecederaan.

“Leong Jun Hao pula prestasinya 50-50 dan Ng Tze Yong pula saya fikir dia sukar untuk kembali seperti dulu,” jelasnya.

Apa sudah jadi?

Dalam pada itu, Razif juga menyingkap faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan tersebut termasuk isu struktur pembangunan pemain dan kekurangan pemain pelapis.

Malaysia katanya pernah memiliki ramai pemain pelapis berpotensi, namun mereka gagal mengekalkan prestasi di peringkat profesional.

“Dulu kita ada ramai pemain pelapis tapi mereka tidak dapat meneruskan di tahap kompetitif.

“Tak pasti di mana silapnya… adakah lambat matang atau teknikal? Tapi hakikatnya, mereka tidak capai tahap yang diharapkan,” tambah Razif.

Legasi

Pada masa sama, Razif menekankan setiap generasi pemain berbeza dan Malaysia perlu fokus melahirkan pemain perseorangan terbaik pada masanya, bukan meniru legasi lama.

Beliau turut membandingkan situasi ini dengan pemain legenda seperti Chong Wei yang dianggap berada pada kelas tersendiri, serta Rudy Hartono dari Indonesia yang memenangi Seluruh England sebanyak lapan kali.

“Tidak ada formula untuk menghasilkan Lee Chong Wei kedua atau menghasilkan klon Rudy Hartono kerana kedua-dua pemain ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang sukar ditiru,” katanya.

Ramalan

Mengenai jangka masa untuk melihat pemain perseorangan lelaki Malaysia kembali bersaing di pentas dunia, Razif menjangkakan ia memerlukan tempoh panjang.

“Mungkin paling kurang 10 tahun, mungkin lebih. Sekarang pun, pemain pelapis yang ada tidak mampu mengisi kekosongan itu.

“Semua bakat kini lebih tertumpu kepada beregu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran bukan hanya berkaitan tekanan permainan.

Bagi Razif, faktor sikap dan karakter pemain memainkan peranan penting dalam membentuk pemain perseorangan bertaraf dunia.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top