PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengakui pasukannya berdepan masalah di bahagian serangan terutama untuk meledak gol dalam setiap perlawanan.
United meraih kemenangan 1-0 ke atas Fulham di Craven Cottage pada Isnin menerusi gol kemenangan Lisandro Martinez minit ke-78 yang merupakan satu-satunya percubaan tepat ke sasaran dihasilkan mereka dalam tempoh 90 minit perlawaan.
United terpaksa menunggu sehingga minit ke-42 untuk percubaan pertama mereka ke gawang lawan menerusi tandukan Mattijs de Ligt sebelum Amorim bertindak menggantikan Rasmus Hojlund yang gagal menyerlah selepas sejam perlawanan dan penggantinya Joshua Zirkzee menyentuh bola hanya lapan kali dalam baki setengah jam.
Amorim mengakui barisan serangan pasukan itu perlu dibaiki dan menjaringkan gol adalah satu masalah untuk pasukannya.
“Saya rasa memang begitu (sukar untuk jaringkan gol). Walaupun pada separuh masa kedua kami mahu mengubah sesuatu, kami kurang rentak dan kuasa di bahagian depan,” katanya.
Ditanya sama ada dia mengharapkan bantuan tambahan dengan kemasukan pemain baharu baki minggu jendela perpindahan, Amorim mengakui perlu berhati-hati untuk mendapatkan pemain baharu.
“Kami perlu berhati-hati. Malah, ada peraturan di sini dan kami perlu mengikut peraturan.
“Kami melakukan kesilapan (perpindahan) pada masa lalu, kami tidak boleh melakukannya sekarang. Kami fokus untuk meningkatkan pasukan dan kita akan lihat bagaimana keadaan.
“Fokus kami kepada pemain yang ada dan fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya.