NEGARA kita akan terus sukar untuk melahirkan pelapis arena sukan badminton setanding jaguh, Datuk Lee Chong Wei selagi dua aspek penting melibatkan disiplin dan sikap pemain tidak berubah.
Sesuatu yang sukar untuk ditelan, legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mengakui perkara itu benar-benar berlaku dan ramai pemain badminton yang tidak menjaga kualiti disiplin selain membawa sikap ‘besar kepala’ hingga jadi penyebab mereka gagal di pertengahan jalan.
Bahkan, katanya, bukan sahaja Chong Wei, belum tentu juga negara mampu melahirkan jagoan seperti ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David atau jaguh badminton China, Lin Dan, walaupun pelbagai kemudahan sudah disediakan termasuk oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Peserta sedang menjalani uji bakat Rashid Mencari Juara di Telipot pada Ahad. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
“Nak cari pemain standard macam Chong Wei kekal momentum di kedudukan pertama sampai enam tahun bukan senang, masalah sebenar ialah pemain itu sendiri, kadang-kadang bukan sebab sistem BAM pun, dah bagi semua, berbelas-belas kejohanan setahun tetapi disiplin dan sikap tak jaga, habislah.
“Menang satu, dua kejohanan dah besar kepala, dah tak terima nasihat jurulatih, itu sikap kebanyakan pemain dan memang berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Uji Bakat Rashid Mencari Juara bagi Zon Timur di Telipot di sini pada Ahad.
Rashid Sidek yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam sukan badminton mengatakan pakej lengkap diperlukan dalam setiap pemain untuk berjaya ke tahap lebih tinggi bukan sekadar bakat dan skil tetapi harus memiliki keazaman yang tinggi selain berketahanan mental.
Peserta yang berlawan untuk dipilih menyertai program Rashid Mencari Juara. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Katanya, pemain juga harus bersedia untuk memajukan prestasi dari semasa dan semasa serta tidak cepat berpuas hati.
“Istimewanya sukan badminton ini, negara lain pun susah untuk melahirkan pemain setanding yang sedia ada, kadang-kadang semua dah lengkap, kuat dan bersemangat tetiba di penghujung kekuatan mental menurun.
“Ada juga apabila dah menang kejohanan, hanya kekal di tempat sama yang sepatutnya boleh tingkatkan lagi pencapaian ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Jauh di sudut hati beliau mengharapkan sukan badminton negara kembali melahirkan pemain-pemain bermutu dan kualitinya ditingkatkan lagi hingga ke persada dunia.
“Melahirkan pemain yang terbaik memerlukan masa, saya sendiri empat hingga lima tahun pada usia 21 baru beroleh juara tetapi bergantung juga kepada kualiti yang ada pada pemain itu sendiri, kalau cepat di usia 18 itu sudah satu yang betul-betul istimewa.
“Saya harap akan ada lebih ramai pemain-pemain yang menyerlah untuk dapatkan juara dunia dan Olimpik,” katanya.