Sukarnya meluruskan naratif sejarah negara

Sukarnya meluruskan naratif sejarah negara


TIDAK lama dahulu, seorang ahli sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azmi Arifin menjadi fenomena dalam media sosial. Beliau menyeru supaya negara ini meluruskan maklumat sejarah yang dipelajari di sekolah.

Beliau telah mengadakan siri ceramah di merata tempat termasuk di masjid dan surau atas undangan orang ramai. Buku tulisannya yang dijual dalam talian juga kelihatannya laris.

Saya belum membaca bukunya tetapi saya sudah dengar beberapa ceramahnya melalui YouTube. Pada asasnya saya bersetuju dengannya dan menghornati bidang ilmunya sebagai ahli sejarah. Namun sebagai wartawan veteran, ada juga perkara yang saya tidak bersetuju.

Pertamanya, saya bersetuju seruannya supaya sejarah rasmi negara diluruskan. Iaitu maklumat dan pengetahuan dalam buku sejarah rasmi termasuk buku teks menepati fakta yang ditemui oleh ahli sejarah.

Adalah benar kata Dr. Azmi bahawa sejarah sebagai ilmu pengetahuan tidaklah statik. Ia berkembang mengikut penemuan baharu, sebab itu ia perlu sering ditulis kembali. Bagi saya seperti mana ilmu pengetahuan sains berkembang dengan penemuan baharu, maka begitu juga sejarah yang bahan buktinya bergantung pada artifak dan manuskrip tua.

Menurut beliau, banyak dokumen di arkib Britain yang kini telah dibuka untuk kajian dan ahli-ahli sejarah negara boleh menggali maklumat baharu mengenai masa lampau negara ini.

Katanya, umumnya pengetahuan sejarah dalam kalangan rakyat negara dibentuk oleh mata pelajaran sejarah di sekolah dan naratif rasmi yang dikemukakan oleh kerajaan. Naratif ini diwarisi daripada pentadbiran British yang menggambarkan penjajahan itu dari sudut baik serta menceritakan bahawa kerajaan Melayu dahulu bermutu rendah dan kurang peradaban.

Beliau juga menyatakan bahawa naratif rasmi sejarah meletakkan perjuangan menuntut kemerdekaan sebagai jasa UMNO semata-mata.

Sejarah rasmi telah mengecilkan peranan pihak lain termasuklah daripada golongan kiri yang turut banyak berjasa dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Tetapi apa yang paling beliau marah adalah usaha menggelapkan peranan golongan agama.

Menurutnya golongan agama memainkan peranan besar tetapi naratif rasmi meletakkan golongan agama bersama dengan golongan kiri. Katanya, golongan agama seharusnya diletakkan di tengah-tengah, bukannya di sebelah kiri atau kanan.

Dari kecil saya meminati sejarah, malah saya pernah bercita-cita untuk menjadi ahli sejarah. Tetapi pad zaman saya bersekolah iaitu pada 1975, saya dipaksa oleh kerajaan untuk memasuki aliran sains kerana negara amat memerlukan sumber manusia dalam bidang perubatan, kejuruteraan, sains dan teknologi. Sejarah dan sastera bukan keutamaan pendidikan negara.

Buku pertama yang saya baca iaitu ketika darjah satu pada 1966 bertajuk Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan. Daripadanya, saya diperkenalkan mengenai Mat Kilau. Tetapi mata pelajaran sejarah yang mula saya pelajari adalah ketika darjah 4 pada 1969. Pengaruh kurikulum zaman British masih kuat.

Daripadanya, kami diperkenalkan tokoh-tokoh British seperti Florence Nightingale (pengasas kejururawatan moden), George Stephenson (pencipta lokomotif), John McAdam (pencipta jalan tar) dan John Dunlop (pencipta tayar pneumatik).

Dalam buku teks sejarah sekolah menengah rendah, semenangnya diutamakan peranan Dato’ Onn Jaafar melawan Malayan Union dan penubuhan UMNO dalam sejarah memperjuangkan kemerdekaan.

Namun begitu, dipaparkan juga dalam beberapa perenggan mengenai pejuang kemerdekaan daripada golongan kiri seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Muhammad, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam.

Pada 1971, saya terjumpa dua keluaran khas majalah Mastika dan Hiburan. Ia diterbitkan sempena 10 tahun kemerdekaan Malaya iaitu pada 1967. Mastika diterbitkan oleh Utusan Melayu dan satu lagi diterbitkan oleh majalah Hiburan. Walaupun namanya Hiburan tetapi ia adalah majalah hal ehwal semasa.

Begitu juga dengan Mastika yang ketika itu merupakan majalah hal ehwal semasa. Kedua-duanya majalah bertulisan jawi itu meletakkan gambar empat tokoh kemerdekaan negara pada kulitnya, iaitu Dato Onn Jaafar, pengasas UMNO, Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Yang Dipertua Pas dan Ahmad Boestamam, Ketua Parti Rakyat.

Dr. Burhanuddin dan Ahmad Boestamam. merupakan pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1945, iaitu sebelum adanya UMNO. Dr Burhanuddin adalah dalam kalangan intelektual agama ketika itu. Kedua-duanya dianggap kiri dan memperjuangkan kemerdekaan lebih awal daripada UMNO.

Tetapi apa yang membuat saya sedar mengenai naratif alternatif sejarah kemerdekaan adalah apabila membaca memoir Ahmad Boestamam bertajuk Merintis Jalan Ke Puncak pada 1973.

Selepas Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum pada 2018, maka ada cadangan supaya kurikulum sejarah sekolah ditulis semula bagi mencerminkan fakta sejarah sebenar dan tidak berorientasikan UMNO semata-mata. Maknanya sumbangan golongan kiri seperti KMM, PKMM dan Pusat Tenaga Rakyat (Putera) diiktiraf.

Maka saya hadir sebuah forum pada 29 Julai 2018 mengenai cadangan untuk meluruskan sejarah negara yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur.

Ketika ahli panel berucap, datang anak muda yang salah seorangnya mengemukakan soalan secara agresif. Kumpulan ini kelihatannya merupakan daripada golongan kanan. Mereka bimbang jika usaha meluruskan naratif sejarah negara bermakna menerima peranan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam perjuangan kemerdekaan pula.

Sebarang usaha untuk meluruskan naratif sejarah adalah suatu yang sensitif. Di mana-mana negara pun, sejarah rasmi negara tidak semestinya memaparkan apa yang sebenarnya berlaku seperti yang ditemui oleh ahli akademik sejarah. Ia mengandung tujuan politik yang digariskan oleh sesebuah kerajaan yang memerintah pada waktu itu. – Mingguan Malaysia





Source link

OR

Scroll to Top