TERENGGANU tidak akan menghantar penyertaan melibatkan atlet Muslim bagi acara akuatik wanita pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Selangor tahun depan.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu lebih awal kepada penganjur dan negeri lain sudah mengambil maklum mengenainya.
Menurutnya, pendirian itu kekal walaupun peraturan baharu Sukma tidak lagi mewajibkan penyertaan minimum enam negeri bagi sesuatu acara dipertandingkan.
Katanya, pada penganjuran Sukma sebelum ini, setiap acara memerlukan penyertaan sekurang-kurangnya enam negeri dan jika Terengganu menarik diri pada saat akhir, ia berisiko menyebabkan acara tersebut dibatalkan.
Hishamuddin (tiga dari kanan) bersalaman bersama barisan atlet sempena Majlis Selangkah Mencipta Gemilang – Misi Emas Bermula di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
“Dulu kalau kita tarik diri pada saat akhir, ia akan memberi kesan buruk kepada kita kerana acara itu mungkin dibatalkan.
“Kesan daripada apa yang berlaku sebelum ini, kita sudah maklum awal bahawa Terengganu tidak akan sertai acara akuatik wanita Muslim dan semua pihak sudah ambil maklum.
“Dengan syarat baharu ini, kita tidak lagi terikat dan akan fokus kepada acara yang kita berkemampuan untuk sertai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran ‘Selangkah Mencipta Gemilang – Misi Emas Bermula’ kontinjen Terengganu Sukma ke-22 di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.
Terdahulu, tular di laman sosial berkenaan penyertaan atlet terjun wanita beragama Islam yang mewakili Terengganu yang bercanggah dengan kod etika pemakaian atlet Muslim ketika bersukan yang ditetapkan kerajaan negeri itu.
Jelas Hishammudin, pihaknya dimaklumkan penyertaan atlet wanita terjun itu dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu menggunakan perbelanjaan sendiri namun memohon kuota atlet Terengganu.
Kontinjen Terengganu dijangka akan menyertai 34 acara sukan, melibatkan 28 sukan teras, dua sukan pilihan dan empat sukan tambahan iaitu silambam, muaythai, petanque dan satu lagi acara yang akan dimuktamadkan esok.
Kontinjen itu kini berada pada fasa kedua persediaan dan akan memasuki fasa ketiga tidak lama lagi yang akan melibatkan lebih banyak penyertaan kejohanan luar negara.
Temasya Sukma 2026 dijadual berlangsung pada Sukma ke-22 yang akan berlangsung di Selangor dari 14 hingga 28 Ogos 2026 di seluruh daerah di Selangor.
Majlis Majlis Pelancaran ‘Selangkah Mencipta Gemilang – Misi Emas Bermula’ turut menyaksikan pengenalan logo dan slogan ‘Terengganu Nelang’ yang menjadi simbol kekuatan, kehandalan dan kesungguhan negeri itu menjelang temasya sukan berkenaan.