JOHOR BAHRU – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersetuju semua pihak perlu memastikan perseteruan bola sepak kekal dalam padang sahaja.
Perkara itu dipersetujui Sultan Sharafuddin dan Tunku Mahkota Ismail dalam pertemuan semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor, menerusi pertemuan itu, Sultan Sharafuddin dan Tunku Mahkota Ismail juga menekankan perlu wujudnya perasaan saling hormat-menghormati serta perpaduan di luar padang.
“Sultan Selangor dan Pemangku Sultan Johor berkongsi pendapat tentang perpaduan dalam kalangan rakyat, profesionalisme di Malaysia dan kepentingan penyatuan Institusi Diraja untuk berkhidmat sebagai sebuah simbol negara,” menurut kenyataan itu.
Tunku Mahkota Ismail tampil dengan kenyataan sangat ‘pedas’ pada 18 Ogos lalu apabila baginda dikatakan seolah-olah menyindir kelab seteru, Selangor.
Baginda juga tampil memberi komen dalam laman MakanBola, jika kejohanan Piala Sultan Selangor mendapat iktiraf daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebelum ingin menyertai.
“FIFA iktiraf tak piala piala ni? Kalau iktiraf nak join,” komen baginda mengenai perkara tersebut dan mendapat banyak maklum balas dalam kalangan netizen lain.
Selain itu, Pemangku Sultan Johor itu turut memuat naik kenyataan dalami Instagram peribadi baginda dengan seolah mempersoalkan kejohanan tersebut sehingga dikongsikan ramai netizen lain dalam media sosial.
Jelas baginda, bola sepak Malaysia hanya memberi pengiktirafan piala kepada Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Perisai selain menyenaraikan kelayakan untuk pentas antarabangsa membabitkan Liga Super dan Piala FA sahaja.
“Kalau buat piala syok sendiri dan raikan macam menang Piala rasmi, saya akan buat Piala Daddy, dan Piala cap susu mulai tahun depan. Pasukan lawan kena cari yang lemah lemah. Yang pelik takda perasaan malu. Kes kronik syok sendiri,” titah baginda.- MalaysiaGazette