am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda kira-kira jam 6.30 petang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin serta barisan pengurusan kanan universiti.
Pada majlis berkenaan, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM berkenan menyerahkan sumbangan kepada 20 penuntut miskin serta enam penuntut dan empat kakitangan Orang Kurang Upaya (OKU) UiTM.
UiTM dalam kenyataan menjelaskan sumbangan berjumlah RM6,000 diperuntukkan melalui Dana Zakat UiTM dan Dana Sedekah UiTM di bawah Bahagian Zakat, Sedekah & Wakaf (ZAWAF UiTM) yang mana setiap penerima menerima RM200.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yaasin dan tahlil khas oleh Ketua Unit Imarah, Bahagian Hal Ehwal Islam, UiTM Mohd Faizan Tajuid sebelum berbuka puasa bersama penerima sumbangan serta warga UiTM.
“Baginda berdua menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat Tarawih, sekali gus memperlihatkan hubungan erat antara institusi diraja dan institusi pendidikan dalam memperkasa kebajikan dan pembangunan mahasiswa.
“Majlis berbuka puasa ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah antara warga universiti dan kepemimpinan negeri, malah menzahirkan semangat ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Ini selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan yang seimbang daripada segi akademik dan sahsiah, serta menerapkan nilai murni dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd