am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Pulau Indah, hari ini.
Ketibaan baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain bersama ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM sekitar Lembah Klang.
Turut hadir Orang Besar Daerah Klang, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.
Dua kapal iaitu KD Pahang dan KD Terengganu menjadi platform untuk majlis berbuka puasa yang turut disertai 300 warga TLDM.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada saudara baharu (mualaf) dan warga TLDM yang menghidap penyakit kronik di sekitar Lembah Klang.
Turut diadakan upacara ‘Sunset Ceremony’ yang dilaksanakan serentak di kedua-dua kapal.
Selesai berbuka, baginda turut berkenan menunaikan solat maghrib, solat isyak dan solat sunat tarawih bersama warga TLDM yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd