Laporan Sukan Sinar pada 15 Ogos. (Gambar kecil: Mohd Sumali)
PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) belum mahu menekan butang panik mengenai kemerosotan prestasi dua tonggak kebangsaan iaitu tekong, Syahir Rosdi dan perejam, Azlan Alias dalam singan liga tempatan baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui sedar mengenai perkara tersebut, namun menyifatkan ia sebagai lumrah buat mana-mana pemain lebih-lebih lagi selepas kembali dari kejohanan termasuk Piala Raja Thai bulan lalu.
Persembahan dua pemain utama negara itu bersama Melaka Titans dalam beberapa perlawanan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini telah mengundang kritikan peminat di media sosial.
“Prestasi yang tidak konsisten adalah perkara biasa. Kalau kita lihat tahun lepas, selepas kembali dari Piala Raja Thai, prestasi semua pemain menurun.
“Perkara yang sama berlaku sekali lagi,” ujar Mohd Sumali.
Di sebalik kritikan tersebut, penganalisis sukan berpengalaman, Zainal Abidin Rawop berharap peminat tidak terlalu cepat melatah.
Beliau menegaskan prestasi turun naik lumrah dalam sukan profesional dan ia merupakan perkara normal bagi mana-mana atlet di dunia.
Justeru Mohd Sumali mahu bukan sahaja Syahir dan Azlan, namun semua pemain lain untuk kembali meningkatkan prestasi dan konsisten dengan persembahan terbaik mereka.
“Mungkin ada beberapa tekanan atau tidak konsisten dan mereka perlu atasi,” katanya.
Bagi berlaku adil, prestasi mereka tidak terlalu teruk apabila gandingan mantap Syahir dan Azlan menjadi tulang belakang kejayaan Melaka Titans termasuk menjuarai dua Grand Prix (GP) sebelum ini di Terengganu serta Kuala Lumpur.