Sumbangan bermakna buat 50 anak yatim, asnaf

Sumbangan bermakna buat 50 anak yatim, asnaf



lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia (MCM) bersama Badan Amal Kebajikan Islam Petronas (Bakip) menyantuni 50 anak yatim dan asnaf daripada Sekolah Agama Rakyat Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi As-Salam, Ampang dengan sumbangan sempena Ramadan.

Presiden MCM, Zulkifli Wajihan berkata, kesemua penerima sumbangan yang berusia tujuh hingga 12 tahun diperuntukkan RM300 setiap seorang untuk membeli baju raya di pusat beli belah Suria KLCC.

“Selain itu, kita juga menyumbangkan duit raya bernilai RM200 kepada setiap anak asnaf ini dan meraikan mereka dengan majlis iftar.

“Melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, diharapkan dapat membantu golongan asnaf yang sebahagian mereka ketinggalan, mungkin tak cukup belanja dalam Ramadan.

“Nilai keseluruhan RM25,000 yang kita sumbangkan ini amat besar nilainya dan boleh membantu meringankan beban keluarga pelajar dalam membuat persiapan hari raya,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Muhsinin, Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Bakip merangkap Timbalan Pengerusi Surau Al-Muhsinin, Mohd Khairul Anuar Ahmad Rafie.

Zulkifli berkata, MCM merangka pelbagai bentuk bantuan kepada golongan memerlukan sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya, sebelum ini MCM sudah menyantuni 300 banduan di Penjara Kajang dengan menyumbang makanan berbuka puasa bersama Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Jumaat lalu, kita memberi bantuan makanan dan pakaian kepada 70 warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang.

“Selepas ini kita akan terus menggerakkan bantuan ke 30 lokasi di seluruh negara termasuk Jumaat ini, kita akan salurkan bantuan kepada mangsa ribut di Tanjung Karang,” katanya.

Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bergiat aktif di dalam misi bantuan kemanusiaan tanpa sempadan, Zulkifli berkata, MCM juga menjalankan program iftar harian di Gaza yang memanfaatkan sekitar 1,000 penduduk dengan dana RM15,000 setiap hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top