KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan kadar bantuan tunai bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan bukti usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini sebagai langkah yang boleh membantu rakyat meskipun pernah dianggap sebagai ‘dedak’.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penambahan jumlah bantuan tunai yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 diakui mampu merangsang ekonomi rakyat dan meningkatkan taraf hidup.
“Saya gembira melihat sumbangan tunai seperti STR dinaikkan dari RM3,700 kepada RM4,000, STR untuk orang bujang pun naik dari RM500 kepada RM600, dan bantuan warga emas juga naik sehingga RM600.
“Maka betullah apa yang kerajaan BN dulu lakukan (beri BR1M) walaupun pernah digelar dedak ataupun rasuah tapi kini diteruskan kerana pemberian tunai amat membantu rakyat mengharungi cabaran hidup. Saya tak ada masalah kerana apa yang baik kita move on, diteruskan kita sokong,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pemberian tunai melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) diperkenal pada 2012 ketika Najib menjadi Perdana Menteri.
Tahun depan, kerajaan Madani meneruskan pemberian bantuan tunai dengan memperuntukkan RM13 bilion bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) naik RM3 bilion berbanding tahun ini.
Anwar berkata, peningkatan itu membolehkan kadar maksimum diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700, dengan sembilan juta penerima atau 60 peratus rakyat dewasa akan menerima manfaat. – MalaysiaGazette