Sungai Kemat cetek undang bah

Sungai Kemat cetek undang bah


am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Keadaan Sungai Kemat yang semakin cetek sejak banjir besar tiga tahun lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terutama setiap kali hujan lebat kerana kawasan itu berisiko dilanda banjir kilat.

Lebih membimbangkan, fenomena itu semakin kerap berlaku meskipun bukan pada musim tengkujuh, sekali gus memberi kesan kepada penduduk.

Penduduk, Mamat Hassan, 67, berkata situasi terbabit berlaku sejak banjir besar yang melanda daerah Hulu Terengganu pada 2022 dan disifatkan antara paling buruk pernah berlaku.

Menurutnya, selepas kejadian itu, kedalaman Sungai Kemat makin cetek, setiap kali hujan lebat dalam tempoh singkat, air sungai mudah melimpah dan masuk ke rumah.

Katanya, keadaan sungai kini tidak mampu menampung jumlah air yang banyak dan mudah berlaku limpahan ke rumah penduduk.

“Kami berharap pihak berkenaan mengambil inisiatif mendalamkan kembali sungai berkenaan bagi mengurangkan impak limpahan air apabila hujan lebat berlaku.

“Kami akui kampung ini sememangnya terdedah dengan kejadian banjir namun pada musim tengkujuh fenomenanya lain jika dibandingkan sekarang,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, setiap kali musim tengkujuh, mereka bukan saja berdepan banjir tetapi terpaksa berpindah beberapa kali kerana banjir kediaman dinaiki air semula.

“Pernah berlaku, baru saja pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS), hujan lebat dan kami terpaksa pindah semula esoknya,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Raja Zawilawati Raja Sulaiman, 41, berkata, dia antara individu terawal yang akan berpindah sekiranya berlaku banjir kerana Sungai Kemat berada tidak jauh dari rumahnya.

“Sungai semakin cetek ekoran banjir besar pada 2022 dan paling memenatkan apabila tiba perlu berpindah ke PPS beberapa kali.

“Penduduk berharap kerja mendalamkan sungai dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengurangkan risiko berlakunya limpahan air sungai pada masa akan datang,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isuini dalam terbitan HarianMetro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top