am@hmetro.com.my
Jerantut: Cuaca panas berpanjangan hampir tiga minggu di Ulu Tembeling menyebabkan paras Sungai Tembeling susut ketara sehingga membentuk dataran pasir di beberapa lokasi.
Keadaan itu menjadikan sungai semakin cetek dan menyukarkan pergerakan bot, khususnya bagi penduduk yang bergantung kepada laluan sungai.
Penduduk, Jafrun Ali, 66, berkata paras air sungai semakin surut sepanjang tempoh fenomena cuaca panas itu menyebabkan sesetengah tempat penduduk boleh berjalan kaki menyeberang sungai.
“Bot ke jeti Kampung Bantal Seberang terpaksa melalui laluan lebih jauh kerana laluan biasa menjadi cetek dan dipenuhi beting pasir,” katanya.
Katanya, keadaan sama turut berlaku di beberapa lokasi lain termasuk Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Sat dan Kampung Pagi.
Penduduk Kampung Mat Daling, Nurul Natasha Abdul Aziz, 25, berkata fenomena itu bersifat bermusim namun kali ini lebih ketara berbanding sebelum ini.
“Cuaca kering berpanjangan mengubah alur sungai dan menyebabkan bot mudah terkandas akibat paras air terlalu cetek.
“Bagaimanapun, sejak adanya jalan raya, pergerakan penduduk dari kawasan hulu ke Kuala Tahan tidak lagi terjejas,” katanya.
Katanya, jika keadaan berterusan, ia boleh menjejaskan ekonomi penduduk apabila ikan dalam sangkar mati akibat peningkatan suhu air.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Wan Hamzah Wan Manah berkata, fenomena berkenaan adalah perkara biasa ketika musim kemarau.
Menurutnya, penurunan paras air yang berterusan boleh menyebabkan beting pasir terbentuk sehingga hampir 100 meter lebar dan 200 meter panjang di beberapa kawasan sepanjang sungai.
“Fenomena ini turut memberi ‘rezeki bermusim’ apabila kawasan lubuk yang masih dalam dimanfaatkan penduduk untuk menangkap ikan seperti baung dan patin yang terperangkap akibat air surut.
“Namun, perubahan landskap dengan kemunculan dataran pasir luas di tengah sungai mencetuskan pemandangan berbeza,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






