Sunway catat RM60 juta jualan hasil jerayawara seluruh negara

Sunway catat RM60 juta jualan hasil jerayawara seluruh negara


KUALA LUMPUR: Salah satu syarikat terbesar di Asia Tenggara ,Sunway Group, baru-baru ini berjaya mengakhiri Sunway Mega Roadshow 2025 yang diadakan di seluruh negara.

Dengan tema “The Next 50 Years and Beyond”, acara ini berjaya meraih RM60 juta dalam jualan, dengan Sunway Super App mencatatkan transaksi pembayaran digital tertinggi sebanyak RM6.1 juta.

Persidangan yang diadakan dari 13 Februari hingga 2 Mac 2025 telah berlangsung di beberapa lokasi utama seperti Sunway City Kuala Lumpur, Sunway City Iskandar Puteri, Pulau Pinang, dan Ipoh. Untuk pertama kalinya, acara ini juga dibawa ke luar negara dengan penganjuran pertama di Singapura.

Salah satu perkara yang mencuri tumpuan sepanjang Sunway Mega Roadshow 2025 adalah peningkatan pesat dalam jumlah pengguna dan transaksi yang dilakukan melalui Sunway Super App.

Aplikasi gaya hidup serba lengkap ini mencatatkan lebih 54,000 muat turun dan 24,000 pendaftaran baru, dengan peningkatan tahunan masing-masing sebanyak 26 peratus dan 15 peratus. Pencapaian ini jelas menunjukkan betapa pesatnya perjalanan transformasi digital yang sedang dijalankan oleh Sunway.

Sejak dilancarkan pada 2023, Sunway Super App menghubungkan pengguna dengan pelbagai produk dan perkhidmatan Sunway, dengan pelbagai tawaran eksklusif yang hanya tersedia dalam aplikasi tersebut.

Naib Presiden Sunway Group, Evan Cheah

Naib Presiden Sunway Group, Evan Cheah berkata Sunway telah berkembang jauh dari permulaan yang sederhana untuk menjadi salah satu konglomerat terbesar di Asia Tenggara.

“Perjalanan ini penuh dengan cabaran, terutama dalam menggabungkan pelbagai sektor perniagaan yang kami jalankan.

“Oleh itu, Sunway Mega Roadshow ini diadakan untuk mempamerkan semua yang terbaik yang Sunway tawarkan di bawah satu bumbung,”katanya.

Acara ini juga menawarkan hadiah menarik bernilai RM2 juta, termasuk hadiah utama berupa sebuah kenderaan elektrik baru bernilai lebih RM100,000.

Selain itu, seorang lagi pemenang bertuah membawa pulang hadiah percutian hujung minggu di The Banjaran Hotsprings Retreat di Sunway City Ipoh, lengkap dengan pengangkutan mewah elektrik.

Dengan kejayaan yang dicapai sepanjang Sunway Mega Roadshow 2025, Sunway Group terus menunjukkan komitmen mereka terhadap transformasi digital dan memberikan tawaran dan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top