Malaysian Tigress buru penamat lima terbaik selepas misi Super Four Piala Asia disekat Korea Selatan. Foto Konfederasi Hoki Malaysia
SKUAD hoki wanita negara kini menumpukan misi menamatkan kempen Piala Asia 2025 dalam kelompok lima terbaik selepas langkah mereka ke saingan Super Four tersekat apabila tewas kepada Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gongshu Canal Sports Park, Hangzhou, China.
Pengendali Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menegaskan barisan pemainnya perlu segera bangkit dan menebus kekecewaan itu apabila membuka saingan klasifikasi menentang Singapura hari ini.
“Berdepan Singapura, saya mahu pemain memberikan segalanya seperti ketika bertemu Taiwan. Sasaran saya adalah kemenangan selesa dalam baki semua perlawanan untuk membuktikan kepada Konfederasi Hoki Malaysia bahawa kita mampu menandingi pasukan dalam kelompok empat terbaik Asia.
“Saya percaya pemain Malaysia mampu menunjukkan bahawa kita juga antara yang terbaik,” katanya.
Malaysia terlepas tiket separuh akhir selepas tunduk 0-5 kepada Korea Selatan, sekali gus menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan tiga mata.
Dalam perlawanan itu, Korea Selatan membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Kim Eunji pada minit ke-12, sebelum Cheon Eunbi menambah dua gol padang pada minit ke-27 dan m-30.
Jeong Dabin melengkapkan sudut penalti pada minit ke-39, manakala Cho Hyejin menutup kemenangan bergaya dua minit sebelum tamat perlawanan.
Mengulas kekalahan itu, Nasihin berkata: “Kita bertahan dengan baik, tapi terlalu banyak melakukan kesilapan hantaran ketika cuba membina serangan. Korea Selatan menggunakan kelajuan mereka untuk menghukum kita melalui serangan balas pantas. Saya juga percaya ada keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan, termasuk dua sudut penalti yang sepatutnya diberikan.”
Terdahulu, Malaysian Tigress memulakan kempen dengan kekalahan 0-8 kepada China sebelum bangkit membelasah Taiwan 11-1.
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad wanita negara dalam sejarah Piala Asia adalah tempat ketiga pada edisi sulung 1985 di Seoul, Korea Selatan.