Super Schools Rugby berjaya himpun 44 pasukan

Super Schools Rugby berjaya himpun 44 pasukan


sukan@hmetro.com.my

Shah Alam: Kejohanan Super Schools Rugby (SSR) terus meraih perkembangan positif apabila menghimpunkan 44 pasukan dari seluruh negara bertanding pada tahun ini berbanding 40 pasukan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin berkata, sebanyak 12 pasukan akan bersaing dalam kategori Challenge Trophy, 16 dalam kategori Premier dan 16 lagi dalam kategori Academy yang membabitkan sekolah projek.

“Kategori Premier pula menghimpunkan sekolah yang mempunyai tradisi kukuh dalam sukan rugbi, manakala kategori Academy menjadi platform penting untuk pembangunan bakat baharu di peringkat akar umbi.

“Peningkatan jumlah penyertaan setiap kali penganjuran mencerminkan minat serta kesungguhan sekolah untuk tampil ke hadapan dalam sukan berkenaan, sekali gus memperluaskan kumpulan bakat pemain rugbi negara.

“Apabila kita tambah lebih banyak pasukan, kita dapat membuka peluang kepada lebih ramai pemain untuk menyerlah. Ini secara tidak langsung membantu memperkukuh pembangunan rugbi negara,” katanya ketika ditemui selepas program Super Schools Rugby Kick Off Showcase 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizin berkata, sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu, SSR dilihat menjadi platform penting khususnya dalam memperkasa format permainan 15 sebelah yang dianggap bentuk asal sukan itu.

Katanya, berbeza dengan format tujuh dan 10 sebelah yang lebih singkat, permainan 15 sebelah memerlukan tempoh lebih panjang serta memberi peluang kepada pemain pelbagai fizikal untuk menonjolkan kemampuan.

“Kejohanan musim ini dijadual bermula pada 7 April sebelum melabuhkan tirai dengan perlawanan akhir pada 4 Julai.

“Kita turut menjangkakan persaingan sengit pada musim ini kerana pasukan-pasukan dilihat memberikan komitmen dalam memastikan mereka bersedia termasuk mengadakan latihan pada bulan Ramadan.

“Aksi peringkat kumpulan akan berlangsung di padang sekolah tuan rumah manakala pusingan suku akhir hingga final akan diadakan secara berpusat dengan perlawanan akhir dijangka berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top