September 8, 2024

Suplemen maut: 2 eksekutif Kobayashi Pharmaceutical letak jawatan

Suplemen maut: 2 eksekutif Kobayashi Pharmaceutical letak jawatan


TOKYO – Dua eksekutif tertinggi syarikat pengeluar ubat Jepun, Kobayashi Pharmaceutical meletak jawatan ketika siasatan diteruskan susulan 80 kematian yang boleh dikaitkan dengan beberapa produk suplemennya.

Syarikat itu berkata, Presiden Kobayashi Pharmaceutical, Akihiro Kobayashi dan pengerusi, Kazumasa Kobayashi, kedua-duanya ahli keluarga pengasas firma itu, telah meletak jawatan.

Keputusan itu dibuat “untuk menjelaskan tanggungjawab eksekutif” berhubung isu yang melibatkan produk beras yang ditapai beni kōji, kata Kobayashi Pharmaceutical.

Pada bulan Mac, syarikat itu memanggil semula lima produknya termasuk ‘beni koji choleste help’ dan dua produk lain yang mengandungi bahan yang dikenali sebagai beras yis merah, atau ‘beni koji’.

Tindakan itu dibuat selepas menerima laporan berhubung masalah buah pinggang daripada pelanggannya.

Kajian perubatan menggambarkan beras yis merah sebagai alternatif kepada statin untuk menurunkan kolesterol tinggi, tetapi juga memberikan amaran tentang risiko kerosakan organ bergantung kepada komposisi bahan kimianya.

Syarikat itu memulakan siasatan selepas doktor memaklumkan mengenai isu kesihatan buah pinggang yang dihadapi pelanggan produknya pada bulan Januari lalu.

Ia juga membuka talian hotline untuk pelanggan g mendapatkan khidmat nasihat.

Pelanggan yang terjejas melaporkan simptom seperti perubahan dalam warna air kencing mereka, bengkak pada anggota badan dan keletihan.

Kobayashi Pharmaceutical kemudiannya mendakwa, ia telah menemui asid berpotensi toksik yang dihasilkan oleh acuan di salah sebuah kilangnya.

Lembaga pengarah syarikat itu kemudian membuat permohonan maaf dan turut mezahirkan ucapan takziah kepada pelanggannya yang meninggal dunia.

“Kami juga ingin sekali lagi memohon maaf yang mendalam kepada pelanggan dan rakan kongsi perniagaan kami,” tambah kenyataan itu.

Ketua Dasar Kemampanan Kobayashi Pharmaceutical, Satoshi Yamane akan menjadi presiden baharu. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top