am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan cucu saudaranya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Tertuduh, Zunaidah Abd Ghani, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, Zunaidah didakwa mengabaikan mangsa berusia empat tahun lapan bulan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal antara 5 November tahun lalu hingga 16 September lalu di sebuah rumah di Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad.
© New Straits Times Press (M) Bhd






