am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang suri rumah warga emas terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM335,926.38 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 71 tahun yang mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan itu.
Katanya, kejadian bermula pada Jun lalu ketika mangsa berada di kediamannya di Ulu Tiram, di sini.
“Mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dipaparkan di Facebook. Mangsa kemudian menekan pautan pada iklan itu sebelum berhubung dengan seorang ejen menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Raub, mangsa seterusnya diminta memuat turun aplikasi pelaburan dan membuka akaun menggunakan maklumat peribadi sendiri.
“Walaupun tidak dijanjikan pulangan tetap, mangsa melihat keuntungan seolah-olah bertambah dalam akaun di aplikasi berkenaan, menyebabkan mangsa yakin untuk meneruskan pelaburan.
“Mangsa kemudian membuat sebanyak 25 transaksi pindahan wang RM335,926.38 yang juga simpanan peribadi ke tiga akaun bank berbeza dari 11 September hingga 21 November lalu.
“Selepas semua bayaran dibuat, mangsa masih tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan, malah suspek terus meminta bayaran tambahan namun mangsa enggan dan mula berasa dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






