Suri rumah mengaku tak bersalah langgar remaja hingga maut 

Suri rumah mengaku tak bersalah langgar remaja hingga maut 


GEORGE TOWN : Seorang suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang remaja maut dan seorang lagi remaja cedera, Februari lalu.

Tertuduh, Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Jazz di atas jalan raya atas pengaruh minuman memabukkan sehingga menyebabkan tidak terdaya mengawal kenderaan itu seterusnya menyebabkan kematian Thomas Ch’ng Kai Hen, 18, pada 19 Februari 2025, kira-kira pukul 9.48 malam di Jalan Jelutong, George Town.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 15 tahun selain denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh, didakwa telah memandu memandu kereta yang sama, juga di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ooi Qi Heng, 18, pada tarikh dan waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.

Pendakwaan bagi pertuduhan kedua itu pula dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara tujuh hingga sepuluh tahun selain dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M.Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam, K.Mahendran.

Pada masa yang sama, keluarga mangsa juga melantik Andy Ooi selaku peguam pemerhati bagi kes berkenaan, manakala RSN Rayer bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah) bagi kes tersebut.

Terdahulu, ketika prosiding, Darrshini memohon mahkamah agar mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan manakala lesen memandunya digantung selain pasportnya pula diserah kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan seorang ibu kepada tiga orang anak berusia 16, 10 dan setahun, tidak bekerja serta hanya bergantung kepada suaminya yang bekerja sebagai penjaja.

Rayer selaku ‘amicus curiae’ bagi kes tersebut kemudian mencelah dengan memohon mahkamah agar tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh kerana dakwanya, kes itu melibatkan kepentingan awam kerana seorang mangsa merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilanggar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Saya meminta agar jaminan tidak ditawarkan. Tertuduh adalah warga asing dan sekiranya mahkamah tidak bersama-sama saya, saya memohon agar jumlah jaminan ditingkatkan, selain perlu ada dua warga Malaysia sebagai penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia, manakala lesen dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri di balai polis setiap bulan manakala tarikh sebutan semula kes pula ditetapkan pada 21 April depan untuk serahan dokumen. Difahamkan, tertuduh bagaimanapun membayar wang jaminan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang bapa Ch’ng Hock Soo, 54, bingung mengapa suspek masih belum didakwa di mahkamah berhubung kejadian kemalangan membabitkan anaknya Thomas Ch’ng Kai Hen.

Dalam kemalangan 19 Februari itu, Kai Hen yang sedang menunggu keputusan SPM maut di tempat kejadian, apabila kereta yang dipandu oleh wanita Vietnam itu merempuh dia dan rakan-rakan ketika mereka sedang berjalan di tepi Jalan Jelutong. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top