Pelakon Wanna Ali berpendapat bukan mudah untuk mendapatkan lelaki yang bertanggungjawab atau ‘provider’ dan sanggup menyara keluarga.
Memetik Utusan Online, Wanna berkata dalam ajaran Islam sudah digariskan bahawa nafkah merupakan tanggungjawab lelaki, begitu juga wanita perlu menjadi isteri yang taat.
BACA: Suami Paling Suka Cekodok Pisang Wanna Ali
“Memang susah nak cari lelaki ‘provider’ yang boleh menyara pasangan. Saya rasa lelaki yang benar-benar baik pada zaman sekarang ini seperti sudah pupus. Semoga berjaya kepada wanita di luar sana kerana hakikatnya memang tidak mudah.
“Apabila topik lelaki ‘provider’ dibincangkan, ada yang memberi reaksi seperti ‘apa awak boleh beri kepada saya?’. Sedangkan dalam agama kita sudah jelas bahawa lelaki bertanggungjawab menyediakan nafkah.
“Dalam masa sama, wanita juga perlu menjadi isteri yang taat dan setia kepada suami,” katanya.
Sementara itu, Wanna berkata ianya tidak menjadi kesalahan untuk wanita yang berdikari menetapkan standard dalam memilih pasangan.
“Saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang buruk apabila seorang wanita yang sudah berdikari dan menyara diri mahukan seorang lelaki yang mampu menyara dirinya pula.
“Jika saya mahu berkahwin, tidak logik sekiranya saya pula yang perlu menyara suami,” katanya.
Dalam pada itu, Wanna turut bersyukur dikurniakan suami yang bertanggungjawab dan menjaga kebajikannya sejak mereka mendirikan rumah.
“Kalau orang kata saya nampak lebih berseri selepas berkahwin, itu kerana suami menjaga saya dengan baik,” selorohnya.
Sumber: Utusan Online






