georgie@hmetro.com.my
SEDAR tidak sedar, sudah lebih setahun pelakon dan pengacara terkenal Sean Lee bergelar suami kepada Bay Jean Doucet. Memasuki fasa baharu itu, Sean tidak terlepas berdepan cabaran alam perkahwinan.
Bagi Sean atau nama sebenarnya Sean Lee Jia Ern, 31, komunikasi kunci utama yang perlu diselesaikan seawal mungkin untuk membina rumah tangga yang bahagia dan kukuh pada masa hadapan.
Menurutnya, isu itu bukan hanya terhad kepada pasangan suami isteri. Ia masalah lebih besar, membabitkan cara generasi muda berinteraksi dengan ibu bapa yang sering kali kurang terbuka dan jujur.
“Ia membuatkan saya mahu menyelesaikan isu komunikasi ini awal-awal supaya saya ada perkahwinan yang baik pada masa hadapan. Saya dapati masalah komunikasi ini bukan generasi saya saja.
“Juga bersangkut kuat ibu bapa kita. Cara kita berkomunikasi dengan ibu bapa kita pun, jujurlah, kan? Kita tidak benar-benar bercakap dengan mereka,” katanya.
Selain komunikasi, Sean turut menyentuh aspek kestabilan kewangan sebagai persediaan penting sebelum berkahwin. Dia mempunyai pandangan berbeza mengenai pengurusan wang. Perspektifnya tidak hanya tertumpu pada matlamat perkahwinan semata-mata. Pendekatannya adalah untuk mengumpul wang dan membina kestabilan diri terlebih dahulu.
Ini persediaan umum untuk sebarang kemungkinan dalam hidup, bukan hanya untuk mendirikan rumah tangga.”Soal kewangan, saya rasa saya beroperasi secara berbeza. Saya bukan macam nak kahwin baru saya kumpul duit. Saya kumpul duit dulu baru fikir nak buat apa. Saya rasa begitulah kehidupan sepatutnya.
“Kalau kita sebagai individu yang tak boleh tampung sendiri, jangan fikir nak tampung orang lain. Jadi saya rasa kita sebagai lelaki pun kita kena ada tanggungjawab itu,” katanya.
Sean merasakan isu-isu penting seperti tanggungjawab kewangan dan emosi ini jarang dibincang secara terbuka. Kurang didikan dan perbualan mengenai topik ini adalah masalah generasi yang serius.
Dia sendiri pernah melalui fasa di mana dia berasa hilang arah dan tidak tahu kepada siapa untuk merujuk. Perasaan terasing ini menjadikannya sukar mencari nasihat yang praktikal dan berguna.
“Benda ini tak diajar atau tak disuarakan, dan saya rasa ia sangat sukar sebab masa saya melalui fasa hidup ini, saya rasa macam, ‘Kenapa aku tak ada sokongan eh?’ Saya tak tahu siapa nak dihubungi. Saya tak tahu nak minta nasihat daripada siapa.
“Sebagai lelaki pun kadang-kadang kita rasa segan nak tanya lelaki lain, kan? Dan kalau saya tanya pun, contohnya, ‘Ada apa-apa nasihat untuk saya? Saya baru kahwin tahun pertama,’ mereka hanya akan menepisnya macam, ‘Alah, lama-lama kau orang okeylah. Awal-awal sahaja susah,” katanya.
Sean tidak bersetuju dengan mentaliti bahawa setiap orang perlu melalui kesusahan yang sama untuk belajar. Baginya, nasihat yang sambil lewa seperti itu tidak membantu sesiapa pun untuk membuat persediaan awal.
Dia percaya manusia sepatutnya boleh belajar daripada pengalaman dan sejarah orang lain. Dengan cara ini, kesilapan sama tidak perlu diulangi oleh generasi seterusnya untuk mencapai kematangan.
“Mungkin dia orang pun belajar cara susah, jadi mereka pun rasa macam saya kena lalui benda yang sama. Kena hadap sendiri. Tapi tidak, kita boleh belajar sesuatu daripada orang lain.
“Kita tak payah melalui benda yang sama, kan? Kita hanya perlu belajar dari pengalaman dan sejarah mereka,” katanya.
Di samping itu, Sean turut mengaitkan masalah kurangnya perbincangan terbuka ini dengan cabaran dalam industri hiburan sendiri. Ia adalah satu persekitaran yang mempunyai dinamik sosial yang unik.
Dia berpendapat persekitaran kerja yang kompetitif menyukarkan para penggiat seni untuk mencari rakan yang ikhlas dan boleh dipercayai bagi berkongsi masalah peribadi secara telus.
“Mungkin sukar untuk industri sebab kita dalam industri hiburan ini, kita susah nak cari orang yang betul-betul ikhlas. Jadi saya rasa kebanyakan orang dalam industri ini pun tak berani nak jadi ‘vulnerable’ dengan orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Sean berkongsi perkembangan karier lakonannya membintangi siri Hospital Loveline di TV3. Cara terbaiknya membina karakternya adalah bukan dengan meniru mana-mana rujukan.
Fokus utamanya adalah melalui perbincangan bersama pengarah. Dia banyak berbual dengan pengarah untuk memahami jelas bagaimana pengarah itu sendiri bayangkan watak yang perlu dibawakannya.
Walaupun tiada rujukan spesifik, Sean yang memegang watak Eric tetap membuat kajian asas. Dia menonton pelbagai filem dan drama perubatan untuk melihat pergerakan dan cara seorang doktor bertindak.
“Kajian itu membantu saya memahami bahasa badan dan tingkah laku profesional yang biasa dipamerkan pengamal perubatan. Pemerhatian saya tidak terhenti di situ sahaja dan turut kaji perbezaan cara interaksi doktor.
“Ada perbezaan cara seorang doktor berbual sesama rakan sekerja berbanding cara dia berkomunikasi dengan pesakit. Perincian kecil seperti inilah yang membantu membentuk watak lebih meyakinkan,” katanya.
Drama 13 episod arahan Ng Ken Kin itu turut menampilkan lakonan Syarul Ezani, Scha Elinnea, Kismah Johar, Hanna Aqeela dan Apich Lo.
© New Straits Times Press (M) Bhd






