am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Suspek kes pembunuhan kanak-kanak berusia enam tahun akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Negeri Sembilan hari ini, bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata, suspek berusia 36 tahun yang juga bapa kepada mangsa akan dipindahkan selepas proses tahanan reman di Johor selesai.
“Suspek akan di serah ke IPD Jempol hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas, di sini, hari ini.
Suspek ditahan reman Polis Johor sejak Jumaat lalu dan tamat hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan mayat kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, pada 24 Julai lalu, ditemui ditanam di kawasan Rompin, Jempol.
Kanak-kanak yang ditemui ditanam bapanya dekat Rompin, Jempol, disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher.
Hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.
Terdahulu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Johor Bahru pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemukan tertanam di belukar dekat Rompin, Jempol, kelmarin.
Seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa mangsa ditahan dan kini direman Polis Kontinjen Johor selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.
Berita berkaitan:
Kes mayat ditanam di Jempol: Polis reman bapa mangsa 7 hari
Budak lelaki hilang di Johor ditemukan mati ditanam di Jempol, bapa ditahan
© New Straits Times Press (M) Bhd