Suspek bunuh Cikgu Istiqomah didakwa pagi ini

Suspek bunuh Cikgu Istiqomah didakwa pagi ini



am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Suspek kes pembunuhan kejam guru Istiqomah Ahmad Rozi,33, tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, untuk berdepan pendakwaan, pagi ini.

Suspek berusia 37 tahun yang menaiki kenderaan pacuan empat roda tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada jam 9.10 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju-t warna biru dan serta seluar pendek warna coklat, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.

Lebih 20 pengamal media memenuhi pekarangan mahkamah bermula seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan pendakwaan.

Terdahulu, media melaporkan suspek ditahan 5 Ogos lalu di Chemor, Perak susulan siasatan dijalankan oleh polis berikutan penemuan mayat wanita dalam keadaan tragis di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang 31 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashar Abu Samah dilapor berkata, hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos lalu mendapati ia adalah sepadan dengan mayat ditemui.

Siasatan lanjut polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 37 tahun di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu selepas disyaki terbabit dalam jenayah itu.

Suspek direman seminggu bermula 6 hingga 12 Ogos lalu sebelum tempoh reman ke atasnya disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, hasil siasatan lanjut dan soal tanya terhadap suspek membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat ditemui.

Polis menemui tulang jari dan kepala tidak jauh dari lokasi penemuan mayat, kira-kira lima hingga enam kilometer.

Suspek yang juga kenalan Istiqomah ketika bersama-sama melanjutkan pengajian di maktab perguruan dijangka dituduh sekitar jam 10 atau 11 pagi di Mahkamah Majistret Alor Gajah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top