Sydney: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang lenyap sejak 1970 kembali hangat selepas seorang ahli politik Australia mendedahkan identiti individu yang pernah mengaku membunuhnya.
Memetik The Straits Times, Ahli Parlimen Jeremy Buckingham menggunakan hak keistimewaan Parlimen pada 23 Oktober lalu untuk menamakan suspek yang digelar ‘Mercury’.
Namun, undang-undang New South Wales (NSW) melarang pihak media menyiarkan nama sebenar lelaki berkenaan.
Mangsa, Cheryl Grimmer, dilaporkan hilang di sebuah pantai berhampiran Wollongong, selatan Sydney, ketika bersama keluarganya dan tidak pernah ditemukan.
Saksi mendakwa melihat seorang lelaki membawa Cheryl ke arah kawasan tempat letak kereta sebelum dia hilang.
Pada 2016, hasil siasatan semula menemukan satu pengakuan lama oleh seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dikatakan tidak disiasat sepenuhnya.
Lelaki itu kemudian ditahan dan didakwa pada 2017 atas tuduhan membunuh, namun dibebaskan dua tahun kemudian selepas mahkamah menolak pengakuan berkenaan kerana dibuat tanpa kehadiran penjaga atau peguam.
Dalam pada itu, peguamnya turut mendedahkan bahawa suspek pernah membuat pengakuan palsu berhubung pembunuhan seorang pegawai penjara.
Kes itu menjadi antara punca Parlimen NSW menubuhkan satu siasatan khas terhadap kes pembunuhan dan kehilangan yang belum diselesaikan antara 1965 hingga 2010.
Media turut melaporkan, identiti Mercury kekal rahsia sehingga keluarga Cheryl memberi amaran bahawa mereka akan mendedahkannya jika dia tidak memberi penjelasan mengenai pengakuan asalnya.
Tarikh akhir yang ditetapkan keluarga itu berlalu tanpa sebarang respons daripada Mercury.
Buckingham kemudian membacakan salinan pengakuan tahun 1971 yang menyatakan remaja itu menculik Cheryl dengan niat untuk menyerangnya secara seksual sebelum mencekik mangsa hingga mati.
“Saya tarik dan cekik budak perempuan itu ketika dia sedang minum di pancutan air berhampiran bilik persalinan sebelum menutup mayatnya dengan semak, daun dan tanah di kawasan pasir berbukit,” katanya dalam pengakuan itu.
Pengakuan yang dibacakan itu sekali lagi membangkitkan persoalan besar terhadap kegagalan siasatan terdahulu dan nasib sebenar Cheryl yang masih belum diketahui.
© New Straits Times Press (M) Bhd






