May 27, 2024

Suspek kes tembak KLIA1 sambung reman di mahkamah Kota Bharu esok


KUALA LUMPUR – Suspek kes tembak pengawal peribadi terkena dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 14 April lalu akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu, Kelantan untuk disambung reman esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan telah mengesahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette malam ini.

“Suspek masih dalam tahanan reman yang  tamat esok (22 April). Esok (Isnin) suspek akan dibawa semula ke Mahkamah Majistret Kota Bharu di Kelantan untuk permohonan perintah sambung reman lagi bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Hussein, suspek akan dilanjutkan reman untuk melengkapkan kertas siasatan kes tembak tersebut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api.

Terdahulu, dalam kejadian 1.20 pagi, suspek telah membaling bom mercun sehingga mencederakan dua awam sebelum menghampiri isterinya dan melepaskan dua das tembakan ke arah wanita itu di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA.

Bagaimanapun, mangsa terselamat tetapi salah seorang pengawal peribadi yang menyelamatkan mangsa telah terkena peluru di perut dan rebah.

Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta yang diparkir di Tingkat 2, Block C Terminal 1.

Suspek yang dikenal pasti identitinya sebagai Hafizul Harawi, 38, berjaya diberkas pukul  3 petang bersama sepucuk pistol jenis semi auto 9mm dan 33 butir peluru di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam, Kota Bharu.

Suspek dicekup polis di lokasi yang hanya terletak beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Dia kemudian direman selama seminggu sehingga 22 April 2024 di Mahkamah Majistret Kota Bharu sebelum dibawa dengan penuh kawalan ketat oleh polis menaiki pesawat PDRM jenis King Air B300 ke Pengkalan Pasukan Gerakan Udara PDRM Subang untuk siasatan kesnya di Selangor. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top