Tahun 2025 ternyata menjadi tahun paling bermakna buat pelakon, Sweet Qismina apabila namanya mencipta kejayaan manis dengan merangkul tiga kemenangan daripada setiap kategori yang dipertandingkan.
Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, 28, mengakui pencapaian itu hadir tanpa sebarang jangkaan, malah disifatkan sebagai rezeki luar biasa dalam perjalanan seninya.
“Sejujurnya, ini tahun yang saya langsung tidak jangka. Saya memang tak sangka rezeki anugerah datang dalam masa yang sama.
“Saya dan suami hanya bekerja seperti biasa, tanpa meletakkan harapan apa-apa untuk menang,” katanya.
Menurut Sweet, kejayaan tersebut membuatkan dirinya lebih menghargai setiap usaha dan pengorbanan yang dilakukan selama ini, apatah lagi apabila hasil kerjanya diterima baik oleh penonton.
“Apabila filem Babah ditayangkan, saya tidak sangka ia menjadi titik permulaan rezeki saya. Bila orang boleh menerima hasil kerja saya, itu sudah cukup membahagiakan.
“Tahun ini sangat manis kerana dari kecil hingga sekarang, saya tidak pernah meletakkan anugerah sebagai sasaran. Fokus saya cuma mahu memperbaiki diri dan terus belajar dalam industri ini,” ujarnya.
Pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37, Sweet berjaya dinobatkan sebagai Aktres Filem Popular, sekali gus mengukuhkan lagi namanya dalam industri perfileman tanah air.
Lebih manis, kejayaan itu turut dikongsi bersama suaminya, Adam Lee, yang membawa pulang trofi Aktor Pembantu Filem Terbaik, menewaskan barisan calon hebat termasuk Aiman Hakim, Bell Ngasri, Kamal Adli, Nadhir Nasar dan Amir Ahnaf.
Sementara itu, Sweet turut mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa apabila diumumkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2025 dan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM34) pada November lalu.







