Syamsul dan Syafiq ada kelebihan sendiri – Syamin

Syamsul dan Syafiq ada kelebihan sendiri – Syamin



norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penerbit filem dan penulis, Syamin Yusof mengakui memang ramai pelakon yang ingin beraksi di layar perak mahu bekerjasama dengan abangnya, Syamsul Yusof dan adik, Syafiq Yusof.

Syamin berkata, sebagai ahli keluarga memang dia pun gembira dengan pencapaian kedua-dua adik-beradiknya itu, sekali gus mewarisi legasi bakat bapa mereka, Datuk Yusof Haslam dalam industri seni dan hiburan tanah air.

“Ya, memang banyak artis yang kadang-kadang cakap mereka nak berlakon filem Syamsul saja atau filem Syafiq saja. Tapi, antara Syamsul dan Syafiq sebenarnya mereka hasilkan filem yang berlainan (genre).

“Syamsul, bila dia ‘produce’ filem atau ketika buat ‘research’ memang kebanyakan karyanya dari segi dialog sangat beremosi. Dia (Syamsul) juga suka hasilkan filem yang dekat dengan ‘ mass audiences’ (penonton arus perdana).

“Tapi, Syafiq pula suka bawa benda yang lain dan ada kelainan. Dia (Syafiq) sebenarnya suka genre ‘sci-fi’ (science fiction). Tapi, kita selalu juga cakap dengannya tak semua orang suka ‘sci-fi’,” katanya kepada Harian Metro.

Syamin ditemui pada Program One Step Closer: Bengkel Khas Pembangunan Idea Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Menara MyIPO, Petaling Jaya, semalam.

Menurut Syamin lagi, dia bagaimanapun selalu beritahu kepada pelakon tanah air yang mana tidak semua karya filem terbitan Skop Production milik keluarganya berjaya di pawagam.

Katanya, bagaimanapun demi merancakkan industri perfileman tempatan, Skop Production juga bekerjasama dengan pengarah lain seperti Ghaz Abu Bakar, Faizal dan ramai lagi untuk berkongsi idea baharu.

“Apapun, syukur Alhamdulillah sebenarnya dengan bakat pengarahan dimiliki Syamsul dan Syafiq. Apatah lagi, mereka pun membesar dalam persekitaran dunia perfileman. Jadi, latar belakang pengetahuan di sebalik tabir mungkin lebih banyak,” katanya.

Antara filem arahan Syamsul seperti Evolusi KL Drift, KL Gangster, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Munafik, Munafik 2 dan banyak lagi.

Syafiq pula pernah menghasilkan filem seperti SAM: Saya Amat Mencintaimu, Abang Long Fadil, Villa Nabila, KL Special Force, Polis Evo 3, Budak Flat, Sheriff: Narko Integriti dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top