Syarat haji makin ketat, tiada kompromi isu kesihatan

Syarat haji makin ketat, tiada kompromi isu kesihatan


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan modul baharu berkaitan kesihatan dalam Kursus Asas Haji (KAH) musim 1447H/2026M bermula 3 Oktober lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, selari dengan syarat kesihatan haji yang diperketat oleh Kerajaan Arab Saudi.

Justeru itu, beliau berkata, TH turut mengambil langkah perlu dengan mewujudkan modul memberi tumpuan kepada aspek kesihatan sebagai persiapan kepada jemaah tanah air sebelum menunaikan ibadat haji.

“Untuk Kursus Asas Haji yang diadakan, kita masukkan modul baru, iaitu modul kesihatan.

“Saya difahamkan, setiap bulan, TH akan berikan anugerah kepada mana-mana jemaah yang terima tawaran haji dan pergi KAH, mereka kena tunjukkan bentuk (rutin) kesihatan yang dilakukan.

“Ada yang misalnya berlari 10,000 tapak setiap hari, naik bukit dan sebagainya. Jadi, Alhamdulillah secara tak langsung ini dapat mendidik mereka untuk menjaga kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita

selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd, Zuri Zabuddin Budiman dan Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, Prof Madya Dr Mohammad Firdaus Low Abdullah.

Pada 19 Oktober lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan yang diperketatkan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata antara syarat yang perlu dipatuhi untuk memperoleh visa adalah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.

Ditanya mengenai perkembangan tawaran haji yang sudah dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober, Mohd Na’im menjelaskan, ketika ini kesemua pendeposit terpilih sedang melakukan proses selanjutnya iaitu melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Surat tawaran haji telah diberikan jadi mereka akan pergi buat pemeriksaan. Sebab itu kita minta dari awal, mereka perlu jaga kesihatan sebaiknya.

“Peraturan Arab Saudi tahun ini sudah ‘strict’ (ketat) daripada sudut kesihatan. Malah dalam pertemuan saya baru-baru ini (ketika Persidangan dan Pameran Haji Arab Saudi), Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah sendiri memberitahu mereka mahu jemaah kita dalam keadaan sihat.

“Jadi diharapkan mereka yang terima tawaran haji akan mengekalkan kesihatan (masing-masing) di tahap terbaik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top